Input your search keywords and press Enter.

Perlis Pertimbang Laksana TEMCO

Gambar Hiasan

M Update, 7/8/2020 – Perlis mempertimbangkan untuk melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) Secara Pentadbiran (TEMCO) di kawasan tertentu jika jumlah kes COVID-19, di negeri itu mencatatkan penambahan hari ini.

Menteri Besar Perlis, Datuk Seri Azlan Man, berkata pihaknya mengesahkan jumlah kes COVID-19 bakal bertambah lagi 10 kes hari ini membabitkan sebuah keluarga di Sanglang yang mempunyai kaitan dengan kluster PUI Sivagangga di Napoh, Kubang Pasu.

Katanya, pihaknya akan menghantar perakuan kepada sekretariat bencana di peringkat Persekutuan bagi memastikan langkah keselamatan termasuk TEMCO untuk dilaksanakan.

“Sepuluh kes terbabit terdiri daripada pelbagai peringkat umur dan ada yang berusia tiga tahun sehingga warga emas. Kesemua mereka ini duduk serumah dan Kementerian Kesihatan sedang berusaha mengenal pasti kontak rapat dengan keluarga ini.

“Setakat ini, 560 orang di Kampung Kuala Sanglang dan 312 di Kampung Tanah Timbul akan diminta menjalani proses saringan bagi mengenal pasti sama ada mereka berjangkit atau tidak.

“Jadi keputusan sama ada pelaksanaan TEMCO di Sanglang akan hanya diketahui dalam masa terdekat memandangkan ada pesakit yang bersekolah di Sekolah Kebangsaan Sanglang dan Sekolah Menengah Kebangsaan Sanglang,” katanya dalam sidang media di Kompleks Dewan Undangan Negeri (DUN) Perlis, hari ini.

Mengulas mengenai keperluan pelaksanaan TEMCO di kawasan tertentu di Perlis, Azlan berkata, ketika ini pihaknya akan menumpukan langkah berkenaan di Sanglang.

“Jadi kita minta penduduk di Sanglang dan sekitar kawasan berkenaan bersedia dari segi mental dan fizikal sekiranya TEMCO dilaksanakan.

“Cuma keputusan untuk menutup dua sekolah terbabit belum diputuskan dan hanya akan diketahui dalam masa terdekat kerana fokus kita adalah untuk kenal pasti kontak pesakit melalui saringan,” katanya.

Beliau berkata, buat masa ini sebaiknya mereka berada di kawasan Sanglang untuk lebih berjaga-jaga dan mematuhi arahan kerajaan.

Sehingga semalam, dua kes positif COVID-19 sudah dilaporkan di Perlis membabitkan kawasan di Sanglang dan Padang Siding dengan jumlah keseluruhan kes sebanyak 20 kes sejak Mac lalu dan dijangka meningkat bermula hari ini. – BH Online