Input your search keywords and press Enter.

Guna Saluran Tepat Lapor Kegiatan Jenayah – Hamzah

M Update, 11/8/2020 – Orang awam disaran menggunakan saluran yang tepat dalam melaporkan sebarang kegiatan jenayah termasuk perjudian haram bagi mengelak keselamatan diri diancam, kata Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hamzah Zainuddin.

Sambil mengucapkan terima kasih dan penghargaan kepada penjual burger Mohd Asri Hamid, 42, kerana mendedahkan aktiviti perjudian di Sungai Buloh, Hamzah berkata tindakan menyebarkan maklumat di media sosial boleh mendatangkan ancaman kepada pemberi maklumat. 

“Pemberi maklumat ini memang digalakkan dalam memberi maklumat jenayah tetapi biarlah mengikut perundangan yang ditetapkan dan tidak bertindak secara melulu.

“Jangan mengeluarkan kenyataan-kenyataan yang berbaur tuduhan sehingga menjadi tular di media sosial, sila laporkan dan pihak berkuasa akan menjalankan siasatan,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di Bandar Baru Sungai Buloh di sini.

Sebelum ini, tular satu video yang disiarkan secara langsung menerusi laman sosial Facebook Hot Burger Malaysia serta dikongsi akaun Mohd Asri, yang dikenali sebagai Asri Janggut, mendakwa pihak berkuasa tidak mengambil tindakan terhadap aktiviti judi serta mendedahkan lokasi perjudian di Bandar Baru Sungai Buloh.

Ditanya sama ada PDRM akan mengambil tindakan terhadap Mohd Asri, Hamzah berkata PDRM akan menyiasat pemberi maklumat itu bagi memastikan segala dakwaan beliau diambil tindakan sewajarnya.

“Kami bukan mahu menghukum dia tetapi menyiasat segala tuduhan dan tohmahan yang dikeluarkan beliau,” katanya.

Sebaliknya, Hamzah berkata polis akan mengambil tindakan bagi memastikan keselamatan Mohd Asri yang mendakwa diri beliau mungkin mendapat ancaman selepas mendedahkan video itu di laman sosialnya. Pada masa sama, tindakan tegas juga akan diambil ke atas anggota polis jika terbukti mereka terlibat melindungi pihak yang menjalankan kegiatan haram.– BERNAMA