Input your search keywords and press Enter.

LTTE Masih Disenarai Sebagai Pengganas di Malaysia – KDN

M Update, 11/8/2020 – Kementerian Dalam Negeri (KDN) masih mengklasifikasikan Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE) sebagai kumpulan pengganas.

Menegaskan perkara itu, Timbalan Menteri Dalam Negeri I, Datuk Seri Dr Ismail Mohamed Said, berkata KDN menyenaraikan LTTE sebagai Entiti Yang Ditentukan seperti tertakluk dalam Seksyen 66B (1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001.

Bukan Malaysia sahaja yang menyenaraikan LTTE sebagai kumpulan pengganas malah India, Kanada, Amerika Syarikat (AS) dan United Kingdom (UK) turut membuat penyenaraian sedemikian.

“Mengikut maklumat yang kita terima pada 2014, KDN telahpun menyenaraikan LTTE ini sebagai Entiti Yang Ditentukan di bawah Seksyen 66B (1) di bawah Akta Pendedahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001.

“Kenapa kita letak atau senaraikan LTTE sebagai Entiti Yang Ditentukan kerana di bawah Seksyen 66B menyatakan bahawa mana-mana kumpulan atau individu yang boleh menjejaskan ancaman keselamatan, menjejaskan ketenteraman awam dan keselamatan negara maka aktiviti ini mesti kita bendung supaya segala ideologi mereka ini tidak merebak ke dalam negara kita.

“Dalam Seksyen 66B juga tidak semestinya kumpulan ini bergerak aktif baru kita nak lepaskan daripada senarai kerana Menteri Dalam Negeri ada kuasa khususnya untuk mengekalkan kumpulan LTTE ini sebagai senarai yang Entiti Yang Ditentukan,” katanya pada sesi pertanyaan bagi jawab lisan di Dewan Rakyat Rakyat, hari ini.

Beliau menjawab soalan Leong Jee Keen (PH-Selayang) yang meminta KDN menyatakan bagaimana LTTE yang tidak wujud lagi sejak 2009 menjadi satu ancaman keselamatan negara dan mengapa ia tidak dikeluarkan dari senarai organisasi pengganas di bawah AMLATFPUAA.

Mengulas lanjut, Ismail berkata, Menteri Dalam Negeri mempunyai kuasa menyemak status LTTE atau mana-mana kumpulan dilepaskan dalam senarai Entiti Yang Ditentukan sebagai yang tersenarai sebagai pengganas di negara ini setiap enam bulan. Beliau menjelaskan, perkara itu boleh dirujuk kepada Seksyen AMLATFPUAA di bawah Seksyen 66B dan juga 66B (1) dan 66B (9).

“Apabila sebut 66B (9), setiap enam bulan sekali menteri (Dalam Negeri) mempunyai kuasa menyemak atau jawatankuasa ini diberi kuasa menyemak sama ada kumpulan LTTE atau mana-mana kumpulan letak dalam senarai Entiti Yang Ditentukan untuk kita lepaskan dari senarai pengganas dalam negara kita.

“Jangan bimbang, matlamat kerajaan untuk memastikan negara kita terus selamat dan ketenteraman kita terjamin. Insya-Allah,” katanya.

Sumber : BH Online