Input your search keywords and press Enter.

Boleh Menggaji Pekerja Asing Jika Tidak Dapat Sambutan Warga Tempatan

M Update, 13/8/2020 – Kementerian Sumber Manusia memberi kelonggaran untuk menggaji pekerja asing yang telah diberhentikan oleh majikan lama, sekiranya jawatan kosong tidak mendapat sambutan warga tempatan.

Menterinya, Datuk Seri M Saravanan, berkata majikan bagaimanapun digesa supaya memberi keutamaan kepada pekerja tempatan dalam penawaran dan pengisian kekosongan jawatan yang ada.

“Penggajian pekerja asing perlu dilakukan terhadap mereka yang masih berada di dalam negara, memiliki permit kerja sah dan dalam sektor pekerjaan sama.

“Majikan disaran memastikan pekerja asing yang bakal digaji itu telah menjalani saringan COVID-19 sebagai prosedur operasi standard dan langkah mencegah penularan virus berkenaan,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan, merujuk kepada permintaan segelintir majikan yang mendakwa masih memerlukan sejumlah tenaga kerja asing sehingga mendesak kerajaan menarik balik pembekuan terhadap pengambilan pekerja asing yang baharu.

Kenyataan itu turut memaklumkan, majikan boleh merujuk senarai atau data pekerja asing yang telah menjalani saringan COVID-19, dalam laman web MYEG: www.myeg.com.my.

Saravanan berkata, majikan yang bercadang menggaji pekerja asing berkenaan harus membuat permohonan terlebih dahulu, iaitu dengan mengisi borang dan menyerahkannya sendiri kepada Jabatan Tenaga Kerja di ibu pejabat Putrajaya, secara pos atau melalui e-mel: ptm@mohr.gov.my

Borang itu boleh dimuat turun daripada laman web: www.jtksm.mohr.gov.my.

Kementerian itu dengan kerjasama Kementerian Dalam Negeri telah memberi kebenaran penggajian semula pada awal Jun lalu, sebagai langkah memaksimumkan tenaga kerja sedia ada dan usaha merancakkan semula ekonomi negara. Untuk rekod, hingga bulan lalu, sejumlah 67,068 pekerja tempatan dan 4,753 pekerja asing telah hilang pekerjaan. – BERNAMA