Input your search keywords and press Enter.

Sistem Pengecaman Wajah, Biometrik Kukuhkan Sempadan Negara

M Update, 24/8/2020 – Semua pintu masuk sempadan negara akan dilengkapi sistem Imigresen berteknologi tinggi termasuk penggunaan sistem pengecaman wajah dan biometrik menjelang 2023.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin, berkata langkah itu penting bagi mengesan pergerakan keluar masuk warga asing di negara ini. Katanya, sistem baharu itu juga mampu mengesan mereka disenarai hitam daripada memasuki semula negara ini, selain mengenalpasti golongan yang tinggal melebihi tempoh ditetapkan.

Beliau berkata, Sistem Imigresen Bersepadu Kebangsaan (NIISE) itu sedang dibangunkan kerajaan bagi menggantikan Sistem Imigresen Malaysia (MyIMMs), yang mempunyai kelemahan termasuk tidak mampu mengesan pergerakan keluar masuk warga asing di negara ini.

“NIISE adalah di bawah inisiatif program Digital Malaysia yang bertujuan mentransformasi sistem Imigresen kita kepada sistem automatik berbanding kaedah manual. Kerangka utama yang menyepadukan semua sistem Imigresen ini sedang dibangunkan dengan kos keseluruhan membangunkan sistem itu masih dalam penilaian kerajaan.

“Ketika ini, pergerakan keluar masuk masih berurusan di kaunter dan jika siap sepenuhnya, NIISE akan diintegrasikan antara sistem di sempadan dengan di ibu pejabat, sekali gus mencegah masalah warga asing keluar masuk negara ini yang tidak mempunyai sebarang rekod,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas melawat Kompleks Imigresen, Kastam dan Kuarantin (CIQ) Bangunan Sultan Iskandar (BSI) di sini, hari ini. Bulan lalu, seramai 214,398 daripada 912,374 warga asing dilaporkan tidak mempunyai rekod keluar dari Malaysia sehingga 15 April lalu.

Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) 2018 Siri 3 mendapati pergerakan kumpulan terbabit gagal disahkan berikutan 4,489 gangguan MyIMMs antara 2016 hingga 2018, selain terdapat 29 ‘patch on’ sistem lain yang berurusan dengan MyIMMs menyebabkan ia tidak stabil.

Berikutan keadaan tidak stabil itu, ada data sudah dimasukkan pegawai seperti pengesahan keluar atau masuk di pintu masuk tidak dapat direkodkan sistem atau gagal disepadukan dengan MyIMMs. Mengulas lanjut, Hamzah berkata, sistem NIISE juga akan mempertingkatkan kecekapan Imigresen mengesan pergerakan keluar masuk warga asing dengan pantas, sekali gus mengurangkan risiko keselamatan kepada negara.

“Contohnya dia (warga asing) masuk kata nak kerja pembantu rumah, apabila dia masuk dan sah semua dapat permit, namun tiba-tiba lari daripada majikan. Namun, sistem sekarang tidak ada pengecaman wajah menyebabkan walaupun sudah dibuat laporan polis dan disenarai hitam tetapi dia boleh masuk semula guna pasport lain.

“Kita akan pastikan dengan sistem NIISE yang ada sistem pengecaman wajah dan biometrik. Kalau lari guna jalan tikus sekalipun, apabila dia mahu masuk balik, kita akan halang mereka sepenuhnya,” katanya.

Sumber : BH Online