Input your search keywords and press Enter.

TEMCO Di Kedah, Perlis tamat esok

M Update, 25/8/2020 – Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) Diperketat (PKPD) Bersasar Secara Pentadbiran di Kampung Sanglang dan Kampung Tanah Timbul, Perlis serta empat mukim di Kubang Pasu dan Padang Terap, Kedah tamat esok.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata Mesyuarat Khas Menteri-Menteri Mengenai Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) mengambil keputusan itu selepas tiada kes positif baharu dan semua penduduk di kawasan berkenaan sudah menjalani saringan COVID-19.

Beliau berkata, Kementerian Kesihatan sudah menyaring seramai 1,397 penduduk di Kampung Sanglang dan Kampung Tanah Timbul serta lebih 7,000 penduduk di Kubang Pasu dan Padang Terap.

“Jadi, esok tiada lagi kawalan PKPD Bersasar Secara Pentadbiran di kampung di Perlis dan juga di Kedah,” katanya dalam sidang media di Parlimen, hari ini.

Sementara itu, katanya, terdapat beberapa kes positif dilaporkan di empat daerah di Kedah seperti di Baling dan Sik yang membabitkan Kluster Tawar, namun Kementerian Kesihatan memutuskan tidak perlu PKPD Bersasar Secara Pentadbiran kerana jangkitan terkawal.

Pada 3 Ogos lalu, kerajaan mengumumkan PKPD Bersasar Secara Pentadbiran di empat kawasan di Kedah iaitu mukim Ah, mukim Hosba serta mukim Binjal di daerah Kubang Pasu; Kampung Ulu, Padang Sanai di Padang Terap, ekoran penularan COVID-19 yang berpunca daripada Kluster Sivagangga.

Pada 10 Ogos lalu, dua kawasan di Perlis dikenakan PKPD Bersasar Secara Pentadbiran hingga 31 Ogos, iaitu Kampung Sanglang dan Kampung Tanah Timbul. – BH Online