Input your search keywords and press Enter.

Permohonan Rayuan BSH Dibuka Sehingga Sabtu Ini

M Update, 2/9/2020 – Permohonan Rayuan Bantuan Sara Hidup (BSH) 2020 dibuka sehingga 6 September ini dan tiada sebarang bayaran dikenakan bagi permohonan itu, kata Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz.

“Proses rayuan boleh dibuat melalui Cawangan Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (LHDNM)/Pusat Khidmat Hasil (PKH)/Pusat Transformasi Bandar (UTC) atau secara dalam talian bagi pemohon yang berstatus Tidak Lulus tertentu saja.

“Sila layari pautan bsh.hasil.gov.my/ untuk maklumat lanjut,” katanya ketika menyampaikan Laporan LAKSANA Ke-19 pelaksanaan Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (PRIHATIN) dan Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA), hari ini.

Tengku Zafrul berkata, seramai 4.18 juta penerima BSH telah berjaya menerima bayaran RM2.7 bilion yang dikreditkan terus ke dalam akaun bank mereka. Beliau berkata, bagi penerima BSH yang ‘gagal kredit’ atau bayaran tidak dapat disalurkan ke dalam akaun bank, mereka boleh menuntut secara tunai di mana-mana cawangan Bank Simpanan Nasional (BSN) sehingga 31 Disember 2020.

Mengenai skim pengeluaran i-Lestari di bawah Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Tengku Zafrul berkata, sehingga 21 Ogos 2020, jumlah pengeluaran kumulatif antara April sehingga Ogos 2020 adalah sebanyak RM7.48 bilion dan membabitkan 4.57 juta penerima.

Bagi program subsidi upah pula, beliau berkata, sehingga 21 Ogos 2020, sebanyak RM10.3 bilion telah diluluskan yang memanfaatkan lebih 2.61 juta pekerja. Katanya, daripada jumlah itu, sebanyak RM8.9 bilion telah berjaya disalurkan.

Dana Pinjaman Mudah Perusahaan Kecil Sederhana (PKS) yang dikendalikan oleh Bank Negara Malaysia (BNM) pula mencatatkan jumlah permohonan yang telah diluluskan oleh bank tempatan dan disetuju terima oleh PKS adalah RM10.2 bilion setakat 21 Ogos 2020, yang mana ia memberi manfaat kepada 22,322 PKS.

Sementara itu, Tengku Zafrul berkata, nilai Moratorium Bayaran Balik Pinjaman Institusi Kewangan mencecah RM78.14 bilion setakat 21 Ogos 2020, yang mana sebanyak RM27.35 bilion dimanfaatkan sektor perniagaan, manakala jumlah yang dimanfaatkan oleh rakyat bernilai RM50.79 bilion.

“Mereka yang masih memerlukan lanjutan moratorium dan bantuan bank bersasar selepas 30 September 2020, institusi perbankan bersedia untuk membantu peminjam. Pihak yang masih terkesan boleh mula hubungi institusi perbankan untuk berbincang dan memohon fleksibiliti pembayaran balik,” katanya.

Sumber : BH Online