Input your search keywords and press Enter.

Maritim Malaysia Terima Tujuh Bot Pemintas Baharu

Foto: Ihsan APMM

M Update, 17/09/2020 – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) menerima aset baharu hari ini iaitu tujuh bot pemintas bernilai RM6.3 juta bagi mengukuhkan operasi Op Benteng yang sedang dijalankan pasukan itu di sepanjang Selat Melaka.

Ketua Pengarah Maritim Malaysia, Laksamana Datuk Mohd Zubil Mat Som, berkata tujuh bot pemintas pelbagai jenis itu akan diagihkan kepada beberapa negeri dan zon bagi memperkasakan penguatkuasaan di laut.

“Pasukan Tindakan Khas (PTK) akan menerima dua unit bot pemintas ini manakala Maritim Perak, Melaka, Negeri Sembilan, Zon Maritim Kuala Kurau serta Batu Pahat masing-masing menerima satu unit bot baharu ini.

“Zon Maritim Kuala Perlis akan menerima satu bot pemintas awal Oktober nanti, namun keutamaan agihan bot pemintas ini diberikan kepada zon yang berdekatan kawasan perairan negara jiran yang terdedah kepada ancaman aktiviti jenayah rentas sempadan seperti penyeludupan migran, dadah dan sebagainya,” katanya dalam satu sidang media di Avillion Admiral Cove di sini tadi.

Foto: Ihsan APMM

Tujuh bot pemintas itu dinamakan sebagai ‘Kelas Benteng’ selaras keperluan bagi meningkatkan Penguatkuasaan Operasi Benteng di bawah ‘National Task Force’ (NTF).

“Op Benteng adalah operasi bersepadu dilancarkan sejak 12 Mei lalu yang membabitkan Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Polis Diraja Malaysia dan Maritim Malaysia yang bertujuan meningkatkan kawalan keselamatan bagi mengekang kemasukan pendatang asing tanpa izin (PATI) dan sempadan negara di perairan serta darat.

Foto: Ihsan APMM

“Sejak Op Benteng dilancarkan sehingga Ogos tahun ini, Maritim Malaysia sudah memeriksa sebanyak 22, 815 vesel dengan 190 tangkapan atas pelbagai kesalahan.

“Daripada keseluruhan tangkapan, sebanyak 107 tangkapan membabitkan kes berkaitan perikanan, manakala 27 kes PATI dan 18 kes berkaitan penyeludupan, lain-lain sebanyak 38 kes dan Maritim Malaysia juga turut merampas pelbagai barangan yang membabitkan kes dianggarkan bernilai RM10 juta,” katanya.

Zubil berkata, pihaknya mengingatkan kepada orang awam agar terus memberikan kerjasama dengan semua agensi penguat kuasa bagi membanteras kegiatan jenayah di laut.

Foto: Ihsan APMM

“Mereka boleh terus menyalurkan maklumat jika ada sebarang kegiatan jenayah di laut dan bukan menjadi tali barut kerana tindakan yang tidak bertanggungjawab ini boleh menggugat keselamatan negara.

“Ia juga selaras dengan usaha kerajaan dalam menyekat penyebaran wabak COVID-19 daripada masuk ke negara kita melalui jalan laut,” katanya. – BH Online