Input your search keywords and press Enter.

Masih Tiada Keputusan Kelayakan Mengundi Pesakit COVID-19 – SPR

M Update, 22/9/2020 – Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) masih menunggu keputusan rasmi Kerajaan Persekutuan berkaitan kelayakan mengundi individu yang sedang menjalani kuarantin termasuk positif COVID-19 pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah, 26 Sept ini. 

Pengerusi SPR Datuk Abdul Ghani Salleh berkata pihaknya dimaklumkan bahawa satu mesyuarat diadakan hari ini di peringkat persekutuan membabitkan Polis Diraja Malaysia (PDRM), Kementerian Kesihatan dan Majlis Keselamatan Negara berkaitan perkara itu.

Beliau berkata SPR hanya menanti keputusan mesyuarat itu dan pada masa sama, akan melihat apa yang boleh dilakukan sekiranya golongan tersebut dibenarkan mengundi.

“Kita akan melihat dari aspek perundangan memandangkan proses undi awal sudah pun berlangsung hari ini manakala dalam tempoh tiga hari lagi akan berlangsung hari pengundian,” katanya kepada pemberita selepas melawat pusat undi awal di Mes Pegawai Kanan PDRM di Kepayan di sini.

Abdul Ghani berkata demikian ketika menjawab pertanyaan media sama ada akan terdapat tarikh lain untuk individu yang positif COVID-19 dan dalam kuarantin untuk menjalankan tanggungjawab mereka sebagai pengundi.

Terdahulu, Ketua Polis Negara Tan Sri Abdul Hamid Bador memaklumkan bahawa terdapat 270 anggota polis di Sabah yang tidak dapat menjalankan tanggungjawab mengundi awal hari ini kerana sedang menjalani kuarantin.

Seramai 16,877 individu layak mengundi awal hari ini dan setakat 10 pagi, peratusan keluar mengundi ialah 35 peratus. – BERNAMA