Input your search keywords and press Enter.

Sindiket Penyeludupan PATI Didalangi Pengawai Imigresen Tumpas

Foto: FB Jabatan Imigresen Malaysia

M Update, 13/10/2022 – Sindiket penyeludupan pendatang asing tanpa izin (PATI) yang didalangi dua pegawai Jabatan Imigresen (Imigresen) Johor ditumpaskan semalam.

Dua pegawai berusia 20 dan 27 tahun ditahan.

Ops Seludup Hitam yang dijalankan 18 pegawai dari Bahagian Perisikan dan Operasi Khas Imigresen Putrajaya berjaya mengekori kegiatan sindiket itu.

Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Seri Khairul Dzaimee Daud, berkata sindiket berkenaan dipercayai menyeludup masuk warga Indonesia yang pernah dikenakan tindakan atau hukuman serta disenarai hitam pihak Imigresen atas pelbagai kesalahan.

Foto: FB Jabatan Imigresen Malaysia

“Hasil serbuan ini kita berjaya menahan dua dalang atau tekong warga tempatan yang berperanan sebagai ‘transporter’ berusia 34 dan 49 tahun, selain 25 PATI Indonesia yang baharu diseludup dan diangkut menggunakan bas.

PATI yang ditahan terdiri daripada 13 lelaki dan 12 wanita itu berusia antara 24 hingga 41 tahun.

Beliau berkata, hasil siasatan mendapati sindiket ini mula beroperasi sejak pembukaan semula sempadan negara pada 1 April lalu.

“Semalam, kita menerima maklumat akan ada pergerakan sindiket ini yang bermula dari Batam, Indonesia ke Singapura menaiki feri, sebelum mereka dibawa masuk ke negara ini menerusi pintu sempadan di KSAB secara berperingkat menaiki sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV), pada jam 1.30 tengah hari.

“Mereka dipercayai akan dilepaskan oleh dua pegawai imigresen yang bertugas di kaunter Imigresen tanpa melalui proses pemeriksaan dan cop pasport.

“Mereka akan dikumpulkan di Larkin Sentral, bagi mendapatkan cop palsu pada pasport mereka yang disyaki diuruskan oleh ‘transporter’ berkenaan, sebelum menaiki bas untuk dibawa ke Terminal Bersepadu Selatan (TBS), Kuala Lumpur,” katanya.

Foto: FB Jabatan Imigresen Malaysia

Hasil siasatan, beliau berkata, sindiket itu akan mengutip wang antara RM5,000 hingga RM8,000 bagi setiap migran dan didapati sejak April lalu, mereka berjaya mengaut keuntungan lebih RM2.5 juta bagi sekurang-kurangnya 600 migran yang sudah berjaya diseludup masuk.

“Dalam sebulan, terdapat empat perjalanan dibuat sindiket ini,” katanya.

Katanya, dua kenderaan terbabit iaitu MPV Toyota Avanza dan sebuah bas turut disita.

Khairul Dzaimee berkata, PATI yang ditahan akan disiasat mengikut Seksyen 36 Akta Imigresen 1959/63, manakala dua tekong warga tempatan serta dua pegawai Imigresen akan disiasat mengikut Seksyen 26A Akta Antipemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran 2007.

Beliau berkata, pihaknya tidak akan berkompromi dengan pegawai jabatan itu jika disyaki terbabit dengan sebarang kesalahan penyeludupan migran. – Berita Harian