Input your search keywords and press Enter.

Tindakan Tegas Terhadap Salah Guna Program Subsidi Upah – KSM

M Update, 25/9/2020 – Kerajaan akan menyenarai hitam termasuk mengambil tindakan undang-undang terhadap syarikat yang menyalahgunakan dana menerusi Program Subsidi Upah yang diperkenalkan, pada 1 April lalu.

Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M Saravanan, berkata walaupun sebahagian besar syarikat sudah menyerahkannya kepada pekerja yang memerlukan, namun ada juga yang dipercayai mengambil kesempatan.

“Sehingga kini, sebanyak 885 permohonan ditolak oleh sistem perbankan kerana maklumat tidak lengkap. Terdapat juga aduan yang diterima iaitu syarikat terima subsidi upah tetapi tidak bayar, membabitkan sebanyak 89 majikan dan 846 pekerja.

“Ada juga syarikat memberi dokumen palsu. Sehingga kini, sebanyak 1,663 syarikat dikenal pasti memberi maklumat palsu membabitkan 14,800 pekerja dengan jumlah tuntutan sebanyak RM 31 juta,” katanya pada sidang media selepas menyempurnakan Program Inisiatif Penjana HRDF peringkat negeri hari ini.

Saravanan berkata, pihaknya mengingatkan syarikat untuk tidak cuba mengambil kesempatan terutama dengan keadaan sekarang ini, selain kerajaan sedang berbuat semampu boleh untuk membantu rakyat.

Dalam pada itu katanya, sehingga kini, sebanyak 9,000 permohonan diterima untuk menjalani latihan kemahiran di seluruh negara dan kelulusan sedang dibuat secara berperingkat.

“Kerajaan memberi subsidi upah kepada syarikat dengan tidak memberhentikan pekerja dan terus beroperasi, selain turut memberi insentif pengambilan pekerja kepada syarikat yang mengambil pekerja,” katanya.

Terdahulu, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan penyambungan Program Subsidi Upah 2.0 membabitkan peruntukkan sebanyak RM2.4 bilion yang memberi manfaat kepada 1.3 juta pekerja. Inisiatif diambil sebagai tanda keprihatinan kerajaan dalam mengurangkan beban majikan dan pekerjaan bagi fasa pemulihan ekonomi. – BH Online