Input your search keywords and press Enter.

Maqasid Syariah Jadi Prinsip Panduan Usaha Lawan COVID-19 – PM

Foto : Bernama

M Update, 29/9/2020 – Maqasid syariah menjadi prinsip panduan dalam menggerakkan usaha kerajaan untuk melawan pandemik COVID-19, biarpun pada zahirnya ia tidak diuar-uarkan, kata Tan Sri Muhyiddin Yassin

Perdana Menteri berkata, tema ‘Malaysia Prihatin’ yang menjadi aspirasi kerajaan Perikatan Nasional (PN) untuk memastikan kesihatan rakyat terpelihara daripada ancaman wabak COVID-19 yang melanda dunia dan keadaan ekonomi negara dapat dipulihkan selepas ia terjejas susulan serangan wabak itu sejak awal tahun ini.

Beliau berkata, bagi umat Islam negara ini, pandemik COVID-19 menginsafkan dalam banyak aspek.

“Atas semangat ‘Malaysia Prihatin’, kerajaan sudah mengambil langkah proaktif dalam melaksanakan beberapa fasa Perintah Kawalan Pergerakan atau PKP. Sehinggalah pada saat ini, kita masih lagi berada dalam fasa PKP pemulihan untuk memelihara keselamatan dan nyawa orang awam daripada ancaman wabak COVID-19.

“Dalam memelihara nyawa, seperti mengelakkan daripada penularan pandemik Covid 19, keputusan dan tindakan menguatkuasakan perintah kawalan pergerakan PKP adalah hakikatnya merupakan pengaplikasian prinsip maqasid syariah.

“Dengan statistik pertambahan pesakit dan juga kematian akibat pandemik ini, masyarakat sudah tentu memahami bahawa prinsip memelihara nyawa itu amat penting,” katanya ketika merasmikan Persidangan Kehakiman dan Perundangan Syariah Nusantara Tahun 2020, di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM) (Hal Ehwal Agama) Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri.

Program berkenaan turut disertai secara dalam talian oleh Ketua Hakim Syarie Negara Brunei Darussalam Pehin Orang Kaya Paduka Seri Utama Datuk Paduka Seri Setia Awang Salim Besar; Presiden Kanan (Mahkamah Syariah) Singapura, Alfian Yasrif Kuchit, dan Ketua Kamar Agama Mahkamah Agung Republik Indonesia, Dr Drs Amran Suadi.

Muhyiddin berkata, sebagai pemerintah, menjadi tanggungjawab kerajaan prihatin untuk mengelakkan penularan wabak berbahaya ini yang boleh membawa kematian kepada rakyat.

Beliau berkata, dalam keadaan kebanyakan negara di dunia terpaksa melaksanakan perintah berkurung, banyak urusan yang berkaitan dengan pentadbiran negara dan pengurusan ekonomi tidak dapat dilakukan dalam keadaan biasa seperti sebelum ini. – BH Online