Input your search keywords and press Enter.

Individu Negatif, Tidak Bergejala, Bukan Kontak Rapat Tidak Wajib Kuarantin – KP Kesihatan

M Update, 30/9/2020 – Mereka yang pulang dari Sabah dan diuji negatif bagi COVID-19, tidak bergejala serta tidak mempunyai kontak rapat dengan individu disahkan positif, tidak diwajibkan menjalani kuarantin selama 14 hari, kata Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.

Bagaimanapun, beliau berkata mereka yang berkenaan dinasihatkan menjalani kawalan kendiri termasuk berada di rumah sehingga tamat tempoh 14 hari itu.

“Mereka juga dinasihatkan tampil ke Pusat Kesihatan Daerah atau klinik kesihatan untuk membuat ujian swab pada hari ke-13 bagi memastikan mereka benar-benar bebas daripada COVID19.

“Pelaksanaan peraturan kuarantin di rumah juga terpakai bagi penduduk negeri lain sebelum ini termasuk mereka dari Kedah yang mencatat kes tinggi kerana Kluster Sivagangga. Sebagai contoh penduduk dari Kota Setar, kita saring mereka dari zon merah tetapi kita tidak kuarantin (di pusat kuarantin) mereka, kita pastikan semua tindakan kita sama dengan negeri lain,” katanya.

Dr Noor Hisham berkata bagi individu pulang dari Sabah yang didapati positif akan dirawat di hospital manakala yang negatif tetapi bergejala dan mempunyai kontak rapat dengan individu positif perlu menjalani kuarantin wajib di rumah selama 14 hari. Mereka juga dipakaikan dengan gelang merah jambu, katanya. 

Penjelasan itu sekali gus melegakan kebimbangan orang awam berikutan laporan media berhubung mereka yang pulang dari Sabah tidak perlu dikuarantin jika ujian swab mendapati mereka negatif. Kerajaan mula mewajibkan individu yang pulang dari Sabah menjalani ujian saringan di KLIA dan KLIA2 sejak Ahad lepas berikutan peningkatan tinggi kes di beberapa daerah di negeri berkenaan.