M Update, 20/10/2020 – Padah menumbuk anggota bomba yang sedang menjalankan kerja pemadaman kereta dan memandu secara melulu, seorang pengurus acara sambilan dihukum penjara enam bulan oleh dua Mahkamah Majistret berasingan di sini, hari ini.
Sebelum ini tular di laman sosial, video berdurasi 1:21 yang memaparkan seorang individu melulu ke arah anggota bomba sebelum bertindak memukul seorang lagi anggota. Tindakan itu menyebabkan anggota bomba lain menahannya.
Terdahulu, Majistret Muhammad Noor Firdaus Rosli menjatuhkan hukuman penjara sebulan bermula hari ini terhadap Kan Hong Kit, 33, selepas tertuduh mengaku bersalah menghalang anggota bomba menjalankan tugas.
Berdasarkan kertas pertuduhan, Hong Kit didakwa dengan sengaja menggunakan kekerasan jenayah bagi menghalang penjawat awam, Alfred Rudy Anak Tungku, daripada menjalankan kewajipannya sebagai anggota bomba di tepi Jalan Suakasih, Bandar Tun Hussein Onn, Batu 9 Cheras di sini, jam 10.40 pagi, pada 15 Oktober lalu.
Dia didakwa mengikut Seksyen 353 Kanun Keseksaan, yang boleh dihukum penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya. Terdahulu, tertuduh dalam rayuannya memohon maaf dan berjanji tidak akan mengulangi kesalahannya serta meminta dikenakan hukuman denda minimum.
Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya, Hairul Iqram Hairuddin, membantah rayuan itu dan memohon tertuduh dikenakan hukuman setimpal kerana kesalahan berlaku dalam tempoh PKPB dan orang ramai perlu memberi kerjasama terhadap penjawat awam yang sedang menjalankan tugas yang mana pihak bomba sedang memadam api daripada kereta tertuduh bagi mengelakkannya daripada meletup.
Sementara itu di hadapan Majistret Syahrul Sazly Md Sain, Hong Kit dijatuhi hukuman penjara lima bulan bermula hari ini atas tuduhan memandu kereta dengan cara melulu atau berbahaya kepada orang ramai. Tertuduh turut didenda RM6,000 dan lesen memandu digantung selama dua tahun serta tambahan hukuman penjara tiga bulan sekiranya gagal membayar denda.
Berdasarkan kertas pertuduhan, Hong Kit didakwa melakukan kesalahan itu di Jalan Suadamai, Bandar Tun Hussein Onn, di sini, jam 10.26 pagi, pada tarikh sama.
Pendakwaan terhadapnya dibuat mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum lima tahun, denda dan hilang kelayakan memegang atau mendapatkan lesen memandu selama dua tahun.