Input your search keywords and press Enter.

Produk Import : KPDNHEP Cadang Guna Sistem Kod QR

M Update, 31/12/2020 – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) mencadangkan penggunaan sistem Kod QR pada produk import bagi menangani ketirisan di pintu masuk negara dan mengelak isu seperti kartel daging import berulang.

Timbalan Menterinya, Datuk Rosol Wahid, berkata ia bagi memudahkan pegawai berkaitan mengesan daging atau mana-mana barangan import yang salah masuk ke dalam negara seperti di lapangan terbang dan pelabuhan.

Katanya, sistem itu akan dapat mengurangkan bebanan petugas di lapangan pintu masuk negara dan agensi penguat kuasa sekiranya berlaku sebarang salah laku mengenai kemasukan produk import ke negara ini.

“Kita ada cadangan untuk memudahkan kerja dan menjadikan ia lebih efisien dengan penggunaan Kod QR ini.

“Sebelum ini, ia (pengesahan) dilakukan secara manual, jadi kita tahu beban pegawai kita terutama yang bekerja di pelabuhan atau lapangan terbang yang sibuk.

“Mungkin ada terlepas pandang jadi dengan adanya teknologi ini, ia akan menjadikan kerja-kerja yang dilakukan lebih efisien untuk membendung perkara sama (isu kartel daging) daripada berulang,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Program Gotong Royong dan Penyerahan Sumbangan ‘Food Bank’ kepada golongan memerlukan di Sekolah Kebangsaan Lubuk Periok, Hulu Terengganu di sini, hari ini.

Sementara itu, Rosol berkata, kementerian setakat ini tidak menerima sebarang aduan mengenai kenaikan harga daging tempatan dan ayam susulan kebimbangan pengguna untuk membeli daging import di pasaran.

“Sekiranya ada kenaikan, adukan kepada kita dan akan diambil tindakan.

“Kita juga tidak bercadang untuk mengenakan kawalan harga terhadap daging segar kerana ketika ini harganya terkawal,” katanya.