Input your search keywords and press Enter.

Istiadat Penganugerahan Darjah Kebesaran Negeri Perak Ditangguhkan

M Update, 6/11/2020 – Istiadat Menghadap Sembah Taat Setia Menjunjung Duli dan Penganugerahan Darjah Kebesaran Negeri Perak bersempena ulang tahun Hari Keputeraan ke-64 Sultan Perak Sultan Nazrin Shah yang disambut semalam, ditangguhkan berikutan perkembangan semasa penularan wabak COVID-19.

Orang Kaya Bendahara Seri Maharaja, Tan Sri Dr Mohd Zahidi Zainuddin, berkata istiadat itu akan diadakan pada satu tarikh yang akan ditetapkan kemudian. Turut ditangguhkan ialah acara-acara rasmi utama bersempena sambutan ulang tahun Hari Keputeraan Sultan Perak seperti majlis santapan diraja dan istiadat kawalan kehormatan,” katanya pada sidang media di sini, semalam.

Mohd Zahidi berkata, pada tahun ini, Sultan Nazrin berkenan mengurniakan darjah kebesaran dan pingat negeri Perak kepada 147 penerima sahaja, jumlah yang agak terhad berbanding sebelum ini.

Katanya, pengurniaan darjah kebesaran dan pingat pada tahun ini tertumpu kepada pasukan barisan hadapan yang banyak berkorban masa dan tenaga menentang serta mengekang penularan wabak COVID-19 terutamanya di negeri ini, selain ahli akademik yang banyak berjasa kepada Perak, negara dan antarabangsa.

“Pengurniaan ini diharapkan dapat menyuntik dan menaikkan semangat serta moral pasukan barisan hadapan secara keseluruhannya untuk terus berjuang demi memastikan keselamatan rakyat negeri Perak daripada jangkitan wabak COVID-19,” katanya. – Bernama