Gabungan rasa pedas dan masam menjadikan asam pedas antara masakan melayu yang sentiasa menjadi pilihan ramai. Pelbagai jenis citarasa asam pedas boleh kita rasai di negara yang mewah dengan makanan ini. Asam pedas Melaka, asam pedas Johor, asam pedas nyonya, asam pedas utara dan banyak lagi. Namun, kesemuanya berpaksi kepada cili dan air asam sebagai bahan utamanya.
Apabila menyebut ‘asam pedas’ pasti akan terbayang jenis-jenis ikan yang sering dijadikan bahan utama masakan. Lauk versatil ini boleh diubahsuai mengikut citarasa sendiri. Biasanya ikan laut yang segar akan digunakan seperti tenggiri, merah, senangin, parang, siakap, pari, kembong, terubuk, mayong dan sembilang. Selain ikan, ada juga yang lebih suka menggantikan ikan dengan tetel, daging atau telur. Pastinya kita tidak akan lupa aroma daun limau purut atau daun kesum.
Pelbagai kaedah hidangan asam pedas digunakan bagi menarik perhatian ramai. Ada yang menghidangkannya dalam pinggan, mangkuk, kuali kecil malah dalam periuk tanah liat (claypot). Menu sampingannya juga pelbagai. Selalunya set nasi bersama-sama sayur dan telur masin selain belacan, ulam kacang ceper, timun dan ikan masin serta air sirap.
Kebiasaannya kalau di restoran, kuah dan ikan akan diasingkan. Ketika hendak dihidangkan, baru diletak ikan bagi mengelakkan ikan yang lembut menjadi hancur. Tapi kalau kita masak di rumah, kena perlu mengambil langkah berhati-hati bila menceduk supaya ikan tidak hancur. Berlembut dan berhemah.
Ketika makan selalunya akan berpeluh-peluh kerana kepedasannya namun kuah banjir itu akan tetap dihirup hingga licin walaupun pedas kerana kesedapannya.
Begitulah juga dengan ruangan ini. Penulis akan menyentuh pelbagai isu seperti keselamatan, politik, sosial, ekonomi, sukan dan lain-lain. Isu akan dibahaskan mungkin dari sudut pandang yang berbeza. Kadang-kadang ia boleh mengundang rasa ‘pedas’ dan ‘masam’ kepada pihak tertentu. Mungkin hingga berpeluh. Namun, niatnya adalah satu, iaitu untuk sama-sama melihat sesuatu isu dari sudut pandang yang pelbagai. Selamat menikmati ASAM PEDAS!
ASAM PEDAS