Input your search keywords and press Enter.

i-Sinar KWSP Penuhi Keperluan Rakyat – Zafrul

M Update, 17/11/2020 – Kerajaan berharap pengenalan program i-Sinar oleh Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dapat meringankan beban aliran tunai serta memenuhi keperluan rakyat dalam menghadapi cabaran semasa akibat pandemik COVID-19.

Pendaftaran i-Sinar akan bermula pada Disember ini dan pengeluaran pertama akan dilaksanakan mulai Januari 2021. Butiran lanjut boleh didapati di pautan www.kwsp.gov.my Selain itu, kerajaan ingin mengingatkan bahawa program i-Sinar akan berjalan serentak dengan beberapa lagi inisiatif dan bantuan menerusi KWSP, termasuk program i-Lestari dan pengurangan caruman bulanan oleh pekerja yang telah diumumkan dalam PRIHATIN dan Belanjawan 2021.

Program itu adalah kesinambungan kepada program i-Lestari (pengeluaran simpanan Akaun 2) yang dilancarkan KWSP pada Mac lalu. i-Sinar adalah hasil beberapa sesi perbincangan yang diadakan bersama kerajaan untuk memperhalusi dan menambah baik inisiatif pengeluaran Akaun 1 secara bersasar. Penambahbaikan ini dibuat berpandukan data dan analisa profil tanggungan ahli KWSP yang terkesan serta pertimbangan tren jangkitan COVID-19.

Di bawah i-Sinar ini, syarat pengeluaran adalah terbahagi kepada kategori simpanan Akaun 1 RM90,000 dan ke bawah serta kategori simpanan Akaun 1 melebihi RM90,000. Manakala buat kategori ahli KWSP yang memiliki simpanan Akaun 1 RM90,000 dan ke bawah, ahli boleh membuat pengeluaran secara beransur selama enam bulan sehingga maksimum RM9,000; dengan pengeluaran pertama sehingga RM4,000. Pengeluaran bulanan seterusnya adalah pada tahap maksimum RM1,000 sebulan.

Buat kategori ahli yang mempunyai jumlah simpanan Akaun 1 yang melebihi RM90,000, ahli dibenarkan mengeluarkan secara ansuran selama enam bulan sehingga maksimum RM60,000 (tertakluk kepada jumlah simpanan); dengan pengeluaran pertama sehingga RM10,000. Pengeluaran bulanan seterusnya adalah pada tahap maksimum RM10,000 sebulan.

KWSP mensasarkan sehingga dua juta ahli yang terkesan COVID-19 akan dapat memanfaatkan i-Sinar, iaitu golongan yang telah kehilangan pekerjaan, pekerja sektor formal yang tidak mampu mencarum selama dua bulan berturut-turut atau pekerja yang diberi cuti tanpa gaji oleh majikan.

Program i-Sinar dianggarkan bernilai sebanyak RM14 bilion, program i-Lestari RM30 bilion, pengurangan caruman pekerja kepada tujuh peratus (bagi tahun 2020) bernilai RM8 bilion dan pengurangan caruman kepada sembilan peratus (bagi tahun 2021) pula dianggarkan sebanyak RM9 bilion. Keseluruhannya, nilai inisiatif KWSP bagi membantu kelangsungan hidup rakyat bagi tahun 2020-2021 adalah berjumlah RM61 bilion.

Kerajaan sedar bahawa KWSP adalah simpanan hari tua ahli, maka terdapat keperluan untuk mengimbangi antara bantuan untuk menghadapi cabaran masa kini dengan kepentingan persaraan untuk masa depan.

Kerajaan juga yakin bahawa pendekatan yang diambil dapat mengimbangi keperluankeperluan ini. KWSP memberi jaminan bahawa usaha akan diteruskan untuk memenuhi mandat kepada ahlinya iaitu mengukuhkan jaringan perlindungan sosial melalui pelaburan dan pembangunan secara lebih strategik.

Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz