Input your search keywords and press Enter.

Muslim Pro Nafi Jual Data Kepada Tentera AS

M Update, 18/11/2020 – Syarikat yang membangun aplikasi Muslim Pro menafikan dakwaan bahawa pihaknya menjual maklumat peribadi pengguna kepada tentera Amerika Syarikat (AS).

Firma Bitsmedia pada Selasa memberitahu The Straits Times Singapura bahawa pihaknya akan membatalkan hubungannya dengan rakan data, tanpa secara khusus, merujuk kepada mana-mana pihak.

Berdasarkan laporan Vice Media yang diterbitkan pada Isnin, tentera AS membeli maklumat peribadi daripada aplikasi di seluruh dunia, termasuk Muslim Pro yang dimuat turun 98 juta pengguna di seluruh dunia dan mempunyai ciri seperti al-Quran dalam talian dan waktu solat.

“Ini adalah tidak tepat dan tidak betul. Perlindungan terhadap privasi pengguna Muslim Pro adalah keutamaan kami,” kata ketua komuniti Muslim Pro, Zahariah Jupary.

“Sebagai antara aplikasi paling dipercayai pengguna Muslim sejak 10 tahun lalu, kita memastikan standard privasi terbaik dan perlindungan data peribadi, dan tidak pernah berkongsi maklumat peribadi pengguna,” katanya.

Beliau juga berkata, syarikat pembangun aplikasi berkenaan sudah melancarkan siasatan dalaman dan menilai semula polisi pengurusan data untuk memastikan maklumat peribadi pengguna diuruskan dengan sewajarnya.

Vice sevelum ini melaporkan bahawa tentera AS membeli data Muslim Pro melalui pihak ketiga iaitu broker data dikenali sebagai X-Mode. Broker data ini adalah pihak yang mengumpul dan membeli data daripada pelbagai syarikat. Antara maklumat yang dibeli termasuk lokasi pengguna dan nama jaringan Wifi yang digunakan pengguna, masa dan maklumat mengenai model telefon bimbit yang terdapat aplikasi tertentu.

Zahariah berkata, Muslim Pro bekerjasama dengan X-Mode sejak empat minggu lalu, tetapi sudah membatalkan sebarang hubungan dengan syarikat itu dan semua rakan datanya. Bagaimanapun, beliau tidak mendedahkan butiran mengenai bentuk hubungan antara Bitsmedia dan X-Mode.