M Update, 26/11/2020 – Legenda Brazil, Pele mengetuai bintang global memberikan penghormatan buat Diego Maradona, yang meninggal dunia malam tadi sambil berkata satu hari nanti mereka akan “bermain bola sepak bersama di atas sana.”
Terkenal apabila membantu Argentina mencipta kejayaan pada Piala Dunia 1986, Maradona paling disayangi di peringkat kelab bersama Boca Juniors di negara kelahirannya dan Napoli di Itali, tempat dia menang dua gelaran Serie A. Maradona dikenali dengan kemahiran hebat bersama bola, namun dia juga terkenal dengan kerenah di dalam dan luar padang.
Dia bergelut dengan ketagihan, terutama kokain dan masalah berat badan, berbeza dengan imej juara tiga Piala Dunia, Pele.
“Berita sedih hari ini. Saya kehilangan rakan baik, dan dunia kehilangan legenda,” kata Pele di Instagram, bersama gambar Maradona merangkul trofi Piala Dunia 1986.
“Banyak yang mahu diperkatakan, tapi buat masa ini semoga Tuhan memberikan keluarganya kekuatan. Satu hari nanti, saya harap akan dapat bermain bola sepak bersama di atas sana.”
“Ia hari yang sangat menyedihkan buat semua rakyat Argentina dan bola sepak,” kata Lionel Messi di media sosial bersama gambarnya dan Maradona. “Dia meninggalkan kita tetapi dia tidak pergi kerana dia adalah abadi.” – AFP/ BH Online