Input your search keywords and press Enter.

Belanjawan Paling Genting Dalam Sejarah Malaysia

Belanjawan 2021 disifatkan sebagai bajet paling genting dalam sejarah 63 tahun penubuhan Malaysia berikutan situasi politik semasa tanah air.

Pensyarah Undang-Undang, Profesor Dr Nik Ahmad Kamal Nik Mahmod berkata, ini merupakan kali pertama dalam sejarah Malaysia timbul isu besar membabitkan kelulusan belanjawan.

“Hal ini terjadi disebabkan tiada majoriti yang jelas dalam Dewan Rakyat di pihak kerajaan. Walaupun ada majoriti, ia majoriti mudah yang sangat kecil iaitu antara tiga atau empat undi sahaja,” kata Nik Ahmad Kamal kepada Sinar Harian di sini semalam.

Nik Ahmad Kamal

Tambah beliau, memburukkan lagi keadaan kerajaan pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin sendiri dilihat bermasalah apabila ia tidak mendapat kata sepakat sepenuhnya daripada parti-parti dalam gabungan Perikatan Nasional (PN).

“Pergeseran dan perpecahan yang berlaku dalam PN ditambah dengan pelbagai kenyataan antaranya daripada Setiausaha Agung Barisan Nasional, Tan Sri Annuar Musa yang menyeru UMNO menyokong penuh meluluskan Belanjawan 2021 tetapi surat Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah pula mengusulkan undi tidak percaya terhadap Perdana Menteri.

“Malah, lebih membimbangkan Ku Li turut mengumumkan tidak akan mengambil bahagian dalam perbahasan di Dewan Rakyat pada Khamis (hari ini) yang mungkin menyebabkan PN sudah kekurangan satu undi,” hujahnya lagi.

Tambah Nik Ahmad Kamal, di atas kertas mungkin PN tiada masalah untuk mendapatkan kelulusan Belanjawan 2021, namun apa yang menjadi persoalan ketika ini adalah sebahagian pemimpin politik mempunyai percaturan sendiri dalam memastikan belanjawan diluluskan mengikut acuan yang dikehendaki.

“Sebagai contoh Ahli Parlimen Pekan, Datuk Seri Najib Tun Razak sendiri menyatakan sokongan bersyarat terhadap Belanjawan 2021 dengan menuntut kerajaan membenarkan pengeluaran one-off sehingga RM10,000 daripada akaun satu Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) selain melanjutkan moratorium.

“Kita nantikan esok (hari ini), mungkin juga kerajaan dapat mencapai kompromi dengan pihak pembangkang dalam perincian inti pati Belanjawan 2021, kita tidak tahu,” katanya.

Di atas kertas kerajaan PN ketika ini hanya memiliki kelebihan majoriti mudah sebanyak empat undi berbanding pembangkang. PN di Dewan Rakyat mempunyai 111 ahli Parlimen manakala blok pembangkang memiliki 107 ahli Parlimen. Terdapat dua wakil rakyat Bebas masing-masing Ahli Parlimen Lubok Antu, Tambat@Jugah Muyang dan Ahli Parlimen Simpang Renggam, Dr Maszlee Malik yang berkemungkinan boleh menjadi king maker nasib Belanjawan 2021.

Dalam pada itu, Penolong Profesor Sains Politik Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Dr Tunku Mohar Tunku Mohd Mokhtar mendedahkan Belanjawan 2021 dilihat agak terumbang-ambing berikutan beberapa wakil rakyat UMNO masih berbelah bagi menyatakan sokongan.

“Tiada jaminan kukuh apabila terdapat ahli Parlimen UMNO yang membangkitkan beberapa permintaan untuk dimasukkan dalam Belanjawan 2021. Jika tidak dipenuhi, ada kemungkinan yang mereka ini akan menolak belanjawan,” ujar Tunku Mohar di sini semalam.

Tegas beliau, pengundian untuk meluluskan Belanjawan 2021 pada hari ini amat penting kerana ia menyalurkan peruntukan untuk pembangunan negara dan perbelanjaan kerajaan.

“Dari segi pentadbiran pula, ia menguji setakat mana kerajaan responsif kepada wakil rakyat dan seluruh rakyat amnya. Dan dari segi politik, sama ada kerajaan ini mempunyai sokongan majoriti ahli-ahli Parlimen,” katanya lagi.

Bagaimanapun, akui Tunku Mohar, kerajaan PN tidak boleh terlalu berharap kepada pihak pembangkang walaupun titah Yang di-Pertuan Agong sebelum ini mahukan ahli politik bersatu dan mengutamakan kebajikan rakyat.

“Seruan Yang di-Pertuan Agong bukanlah satu cek kosong untuk kerajaan tidak mendengar cadangan daripada pembangkang dan juga sebahagian daripada sekutunya sendiri,” katanya.

Sumber: Sinar Harian