Input your search keywords and press Enter.

Kemalangan Di Parit Setongkat, Isteri Maut, Suami & Anak Parah

Pasukan anggota Bomba menyelamatkan mangsa dalam kemalangan di Parit Setongkat, Jalan Salleh, Muar.

M Update, 31/11/2020 – Seorang wanita maut manakala, suami dan anaknya parah selepas kenderaan dinaiki mereka terbabit kemalangan di persimpangan Parit Setongkat, Jalan Salleh di sini, jam 2.07 pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Muar, Asisten Komisioner Zaharudin Rasip, berkata mangsa, Nor Aina Farahin Jai, 31, yang duduk di bahagian penumpang hadapan maut di tempat kejadian akibat cedera parah di bahagian kepala dan anggota badan.

“Pemandu iaitu suami mangsa, Muhammad Alliashia Othman, 37, dan anak tirinya Alif Siraj Abdullah, 3, Alif Farahin Abdullah, 7 dan Aliya Farhana Abdullah, 10, masing-masing duduk di tempat duduk penumpang belakang mengalami kecederaan parah di kepala.

“Dalam kemalangan itu, kenderaan dinaiki keluarga berkenaan dalam perjalanan menghala ke Pagoh,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Zaharudin berkata, ketika di lokasi kejadian sebuah kenderaan jenis Honda Accord yang datang dari arah sebelah kanan secara tiba-tiba keluar dari persimpangan Parit Setongkat menuju ke Jalan Salleh.

“Susulan itu, kereta yang dipandu lelaki berusia 49 tahun merempuh kenderaan dinaiki mangsa sekeluarga sehingga menyebabkan ia hilang kawalan sebelum terbabas ke kiri jalan.

“Pemandu Honda Accord mengalami kecederaan retak tulang kaki dan masih tidak sedarkan diri,” katanya.

Katanya, semua mangsa yang cedera dibawa ke Hospital Pakar Sultanah Fatimah Muar, untuk diberikan rawatan dan kes disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.