Input your search keywords and press Enter.

31 Individu Terima Darjah, Bintang Kebesaran Selangor

M Update, 7/12/2020 – Seramai 31 individu daripada 1,096 pencalonan terpilih untuk menerima darjah dan bintang kebesaran sempena sambutan ulang tahun Hari Keputeraan yang ke-75 Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah pada Jumaat ini.

Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor Datuk Mohd Amin Ahmad Ahya berkata daripada 31 penerima berkenaan, dua orang menerima Darjah Kebesaran Seri Paduka Mahkota Selangor (S.P.M.S.) yang membawa gelaran ‘Datuk Seri’.

“Darjah Kebesaran Datuk Setia-Sultan Sharafuddin Idris Shah (S.S.I.S.) yang membawa gelaran ‘Datuk Setia’ pula turut dianugerahkan kepada dua penerima manakala 11 individu menerima Darjah Kebesaran Datuk Paduka Mahkota Selangor (D.P.M.S.) yang membawa gelaran ‘Datuk’.

“Seramai 16 individu lain pula menerima Darjah Kebesaran Datuk-Sultan Sharafuddin Idris Shah (D.S.I.S.) yang turut membawa gelaran ‘Datuk’,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Semua penerima telah melepasi tapisan keselamatan iaitu Polis Diraja Malaysia (Keselamatan dan Jenayah), Jabatan Insolvensi Malaysia dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, katanya.

Mohd Amin berkata pada tahun ini, kerajaan negeri menerima 3,000 permohonan dan daripada jumlah itu, 1,096 adalah permohonan pencalonan bagi darjah dan bintang kebesaran manakala 1,904 pencalonan adalah bagi Pingat-pingat Negeri Selangor.

Tambah Mohd Amin, pada tahun ini, Sultan Sharafuddin telah memenuhi kouta darjah dan bintang kebesaran yang ditetapkan untuk dikurniakan kepada petugas barisan hadapan ‘frontliner’ sebagai menghargai jasa, pengorbanan, dedikasi dan kecemerlangan dalam menggalas tugas dan tanggungjawab tanpa mengira masa bagi memerangi COVID-19.