Input your search keywords and press Enter.

JKM Sabah Bantu Salur Bantuan Pada Rakyat Yang Terjejas

M Update, 9/12/2020 – Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Sabah menyediakan pelbagai saluran untuk orang ramai terutama individu yang terkesan sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) mendapatkan perkhidmatan kaunseling.

Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat Sabah, Shahelmey Yahya berkata, antara saluran itu boleh dihubungi adalah Bilik Gerakan JKM di talian 088-234202, talian kasih 15999 atau melalui aplikasi WhatsApp 019-2615999.

Beliau berkata sepanjang PKPB di negeri ini, 38 kes dilaporkan melibatkan psikososial iaitu berkaitan masalah kewangan dan pekerjaan manakala sembilan kes berkaitan kebimbangan (psikologikal).

“Sepanjang tempoh PKPB ini, perkhidmatan kaunseling dijalankan melalui kaedah dalam talian atau individu yang mengalami masalah psikologikal hadir sendiri ke pejabat kebajikan bahagian berhampiran untuk mendapatkan perkhidmatan kaunseling atau psikologi.

“Bagi kes memerlukan kehadiran secara bersemuka, JKM turut menyediakan perkhidmatan psikologi dan kaunseling berdasarkan temu janji mengikut prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan,” katanya.

Beliau berkata, selain di Ibu Pejabat JKM Sabah di sini, perkhidmatan psikologi dan kaunseling turut disediakan di JKM Bahagian Kota Kinabalu, Sandakan, Tawau, Kudat, Beaufort dan Keningau.

Shahelmey yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Tanjung Keramat berkata, setakat ini tiada kes membabitkan kemurungan dilaporkan mahupun rujukan daripada agensi lain kepada JKM negeri.