Input your search keywords and press Enter.

Vaksin COVID-19 : Kerajaan Masih Menunggu Perkenan Agong

Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

M Update, 10/12/2020 – Kerajaan masih menunggu perkenan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Majlis Raja-Raja berhubung keputusan Mesyuarat Jawatankuasa Muzakarah Khas mengenai penggunaan vaksin COVID-19 dalam kalangan umat Islam di negara ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri, berkata keputusan itu sudah diperoleh selepas mengadakan mesyuarat berkenaan minggu lalu.

“Keputusan sudah dihantar ke Penyimpan Mohor Raja untuk dipersembahkan kepada Agong, itu caranya. Selepas dapat perkenan dan persetujuan kita akan war-warkan mengenainya.

“(Ini kerana) Fatwa bukan untuk disembunyikan,” katanya kepada pemberita selepas majlis penyerahan bantuan kepada ‘rider’ dan pengawal keselamatan di Kompleks Islam Putrajaya di sini hari ini.

Zulkifli berkata, keputusan itu sudah dihantar sebaik sahaja mesyuarat khas berkenaan diadakan.

“Kita hanya mengikut tertib, hasil keputusan Muzakarah sudah dihantar minggu lalu iaitu selepas mesyuarat Muzakarah maka prosesnya perlu dilihat dan apabila sudah diperoleh (perkenan), kita akan bincang untuk kemukakan jawapan,” katanya.

Ditanya jangkaan keputusan perkenan, Zulkifli berkata beliau tidak dapat jangkakan mengenai perkara itu, namun beliau akan menunggu.

Terdahulu, Zulkifli turut melancarkan Bilik Gerakan Bencana Banjir Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) yang berperanan untuk membantu mangsa banjir.

Dalam sesi taklimat bersama YADIM, Zulkifli turut meminta YADIM untuk membuat surat kepada Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP)

bagi mendapatkan bantuan sebanyak RM500,000 untuk disalurkan kepada asnaf yang terjejas banjir.