Input your search keywords and press Enter.

Raja Tengku Iman Afzan Berkenan Menjadi Penaung NCMW Malaysia

Tengku Puteri Raja Tengku Puteri Iman Afzan.

M Update, 11/12/2020 – Tengku Puteri Raja Tengku Puteri Iman Afzan, puteri sulung Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, telah berkenan menjadi Penaung Diraja Gabungan Kebangsaan untuk Kesejahteraan Mental (NCMW) di Malaysia.

NCMW, yang dimulakan oleh Rotary District 3300 Action Group on Mental Health Initiatives (RID 3300) didorong oleh keperluan semakin meningkat dan mendesak untuk membantu rakyat Malaysia yang menderita pelbagai masalah berkaitan kesihatan mental, khususnya ketika pandemik COVID-19.

Menurut kenyataan media oleh RID3300, Tengku Puteri Iman Afzan adalah Penaung Antarabangsa bagi Hari Kesihatan Mental Sedunia 2020 dan pelantikan pada September lalu adalah cadangan Persekutuan Kesihatan Mental Dunia dan diakui Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) dan agensi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Selain aktif mempromosikan kesihatan mental, sebagai Penaung Diraja, kebijaksanaan dan bimbingan Tengku Puteri Iman Afzan dilihat mampu membawa NCMW memainkan peranan sangat bermakna dan penting dalam menggalakkan kesejahteraan mental di Malaysia.

District Action Group on Mental Health Initiatives (DAG-MHI) RID 3300, diilihamkan oleh Gabenor Daerah Datuk Bindi Rajasegaran dan dibentuk pada Ogos 2020 dan akan dilancarkan pada Julai 2021, menurut kenyataan itu.

Ia bertujuan untuk meningkatkan tahap bantuan yang diberikan kepada mereka yang menderita dengan masalah kemurungan di samping membantu mengurangkan kadar bunuh diri melalui sokongan emosi dan mental, terutama mereka dalam kalangan usia 15 hingga 29 tahun yang banyak terdedah kepada isu berkaitan kesihatan mental.

Ahli NCMW terdiri daripada anggota profesional dan pihak berkepentingan dari 24 organisasi awam dan swasta termasuk profesional penjagaan kesihatan, badan bukan kerajaan (NGO) dan lain-lain.