M Update, 15/12/2020 – Kerajaan memperuntukkan tempoh setahun kepada individu yang tidak memiliki kad pengenalan untuk mengemukakan dokumen sah bagi membolehkan mereka mendapatkan kewarganegaraan.
Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata isu itu telah berlanjutan untuk tempoh yang begitu lama sehingga mengundang pelbagai masalah termasuk dipolitikkan sesetengah pihak sebagai isu perkauman.
Tegasnya, adalah tidak logik bagi individu yang berusia lebih 63 tahun tetapi belum memiliki kad pengenalan.
“Maka sebab itu, saya akan bagi satu tempoh dalam masa setahun semua mereka mesti mendaftar dengan menggunakan bukti atau dokumen yang boleh kita anggap mereka sebagai sah warganegara.
“Kita pastikan yang warganegara tetap warganegara, yang bukan warganegara tetap bukan warganegara,” katanya ketika menggulung perbahasan Rang Undang-undang Perbekalan 2021 peringkat jawatankuasa bagi kementerian itu, di sini.
Dalam pada itu, beliau turut memberi jaminan kemudahan infrastuktur balai polis serta kebajikan anggota polis akan sentiasa diutamakan namun mungkin mengambil masa susulan impak penularan COVID-19.
Jelasnya atas faktor kelembapan ekonomi akibat wabak itu, terdapat beberapa rancangan untuk membaiki dan menaik taraf balai polis terpaksa ditangguh.
Rang Undang-undang Perbekalan 2021 bagi kementerian itu lulus dengan suara majoriti selepas dibahas 12 Ahli Parlimen masing-masing enam dari penyokong kerajaan dan pembangkang.