Input your search keywords and press Enter.

Program Subsidi Upah Dilanjutkan Lebih 3 Bulan Tahun 2021

Timbalan Menteri Kewangan I, Datuk Abd Rahim Bakri.

M Update, 15/12/2020 – Program Subsidi Upah (PSU) akan dilanjutkan melebihi tiga bulan tahun depan, tertakluk kepada beberapa petunjuk fiskal dan keadaan ekonomi negara.

Timbalan Menteri Kewangan I, Datuk Abd Rahim Bakri, berkata PSU yang diwujudkan ketika pandemik COVID-19 berupaya mencetuskan kesan positif dalam menangani masalah pengangguran.

Menerusi pendekatan itu, katanya, subsidi disalurkan kerajaan didapati berupaya membantu majikan yang terkesan dengan wabak yang tercetus sejak hujung tahun lalu.

“PSU dapat bantu operasi syarikat dan mereka yang hilang pekerjaan, justeru kerajaan sedang menilai dari semasa ke semasa tentang perkara ini (melanjutkan PSU).

“Untuk waktu ini, kita sambung PSU pada 2021 untuk tiga bulan dengan peruntukan perbelanjaan RM1.5 bilion.

“Lanjutan PSU seperti dibangkitkan Yang Berhormat akan tertakluk kepada keadaan selanjutnya, termasuk ekonomi 2021 untuk kita timbang keperluan langkah ini,” katanya di Dewan Rakyat, hari ini.