M Update, 15/12/2020 – Seorang lelaki maut dalam insiden letupan gas di sebuah pasar raya di Jalan Kota Tinggi di Ulu Tiram, dekat sini, pagi tadi.
Kejadian berlaku kira-kira jam 11.30 pagi ketika mangsa yang juga pekerja di pasar raya berkenaan dikatakan sedang melakukan penyelenggaraan pada mesin stim di premis terbabit.
Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Johor Jaya, Pegawai Bomba Kanan II Kilok Anak Lampas, mengesahkan kejadian itu dengan mangsa, Ong Kim Hin, 52, meninggal meninggal di tempat kejadian.
Beliau berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan jam 11.35 pagi sebelum 25 anggota bersama tiga jentera termasuk dua unit Perkhidmatan Penyelamatan dan Perawatan Kecemasan (EMRS) dari balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Johor Jaya, Tebrau serta Larkin digerakkan ke lokasi.
“Setibanya di tempat kejadian, didapati benar berlaku letupan gas pada mesin ‘streamer’ ketika kerja penyelenggaraan dilakukan.
“Terdapat seorang mangsa iaitu pekerja yang menjalankan kerja penyelenggaraan terbabit disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh Kementerian Kesihatan (KKM).
“Mayat mangsa diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjutnya dan pihak kami melakukan pemantauan untuk memastikan tiada lagi risiko bahaya,” katanya dalam kenyataan hari ini.