Input your search keywords and press Enter.

COVID-19 : 8 Kluster Baharu, 3 Babitkan Tapak Binaan Di KL

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.

M Update, 17/12/2020 – Lapan lagi kluster baharu COVID-19 dilaporkan semalam, dengan tiga daripadanya membabitkan tapak pembinaan di Kuala Lumpur. 

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah semalam berkata tiga kluster tapak bina berkenaan ialah Kluster Tapak Bina Permai, Kluster Tapak Bina Matahari dan Kluster Tapak Bina Laut dikenal pasti melalui saringan bersasar di tapak bina berkenaan. 

“Kluster Tapak Bina Permai melibatkan daerah Lembah Pantai iaitu kes-kes bagi kluster ini telah dilaporkan positif bermula hari ini melalui saringan bersasar di sebuah tapak binaan, dengan sejumlah 1,087 individu telah disaring dan 48 kes telah dikesan positif COVID-19,” katanya pada sidang media di sini.

Sementara itu Kluster Tapak Bina Matahari pula melibatkan daerah Titiwangsa yang kes-kes bagi kluster ini telah dilaporkan positif COVID-19 bermula pada 12 Dis melalui saringan bersasar juga di sebuah tapak binaan dengan 15 kes telah dikesan positif COVID-19.

Kluster Tapak Bina Laut pula melibatkan daerah Lembah Pantai, Cheras dan Kepong yang kes-kes bagi kluster ini dilaporkan positif bermula 3 Dis dan sehingga kini sejumlah 542 individu telah disaring, lapan dikesan positif, kata Dr Noor Hisham. 

Dr Noor Hisham berkata kluster lain ialah Kluster Puncak Galaksi yang melibatkan daerah Kuala Selangor dan Klang di Selangor melalui saringan bersasar di sebuah gudang yang kes mula dilaporkan positif bermula pada 14 Dis lepas dan sehingga kini 56 kes dikesan positif.

“Kluster Bukit Punai pula melibatkan daerah Kota Kinabalu, Sabah. Kes indeks bagi kluster ini (iaitu kes ke-79,023) telah dilaporkan positif pada 11 Dis melalui saringan kemasukan ke wad. Sehingga hari ini sejumlah 32 individu telah disaring, iaitu tujuh kes dikesan positif.

Kluster Cahaya Masturi melibatkan daerah Johor Bahru, Kota Tinggi dan Pontian di Johor. Kes indeks bagi kluster ini (iaitu kes ke-75,224) telah dilaporkan positif pada 8 Dis melalui saringan individu bergejala. Sehingga hari ini sejumlah 154 individu telah disaring, dan 32 kes telah dikesan positif,” katanya. 

Turut dilaporkan ialah Kluster Seri Tasik melibatkan daerah Perak Tengah dan Kinta di Perak yang kes indeks bagi kluster ini (iaitu kes ke-67,913) telah dilaporkan positif pada 2 Dis melalui saringan prapembedahan dengan tujuh kes dikesan positif setakat ini.

“Kluster Inten pula melibatkan daerah Kuantan di Pahang. Kes indeks bagi kluster ini (iaitu kes ke-78,487) telah dilaporkan positif COVID-19 pada 10 Dis melalui saringan individu bergejala. Sehingga hari ini sejumlah 204 individu disaring dengan sembilan kes dikesan positif,” katanya.