Input your search keywords and press Enter.

Tiada Pengecualian Setem Untuk Pindah Milik Hartanah

Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz.

M Update, 17/12/2020 – Kerajaan tidak bercadang memberikan pengecualian duti setem untuk pindah milik hartanah daripada ibu bapa kepada anak ketika ini, kata Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz.

Beliau menjelaskan berdasarkan ketetapan sedia ada, pengecualian duti setem seratus peratus hanya diberikan atas pindah milik antara suami dan isteri sahaja.

“Kerajaan telah mengumumkan peremitan duti setem sebanyak 50 peratus diberikan ke atas surat cara pindah milik bagi urusan pindah milik harta tanah atas dasar kasih sayang antara ibu bapa kepada anak atau sebaliknya.

“Hasrat peremitan duti ini diberikan bagi menggalakkan urusan pindah milik harta antara ibu bapa dan anak dilakukan semasa hidup, dan mengelakkan berlakunya permasalahan tuntutan harta setelah berlaku kematian antara salah satu pihak yang berkenaan,” katanya pada Waktu Pertanyaan-pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau berkata demikian semasa menjawab pertanyaan Datuk  Mohd Nizar Zakaria (BN-Parit) mengenai pengecualian duti setem pindah milik hartanah daripada ibu bapa kepada anak, serta kaedah lain bagi mengelakkan permasalahan bagi pindah milik hartanah.

Tengku Zafrul berkata peremitan duti setem itu juga bertujuan untuk mengurangkan kes tuntutan harta pusaka di mahkamah pada masa akan datang.

Jelasnya peremitan duti setem ini terpakai bagi surat cara pindah milik harta tak alih disempurnakan pada atau selepas 1 Jan tahun ini dan terhad bagi penerima harta tanah yang bertaraf warganegara sahaja.