Input your search keywords and press Enter.

KDN Terima Permohonan Kenaikan Gaji & Elaun PDRM

M Update, 23/12/2020 – Kementerian Dalam Negeri (KDN) telah menerima permohonan mengenai kenaikan gaji dan elaun pegawai serta anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) pada September lepas, kata Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Dr Ismail Mohamed Said.

Bagaimanapun katanya, suatu kajian menyeluruh mengenai perkara itu perlu dijalankan bagi memastikan kenaikan itu meliputi semua skim perkhidmatan PDRM.

“Kami (KDN) memang sentiasa mengambil berat kebajikan dan tangga gaji kakitangan PDRM sejajar dengan tugas mereka menjaga keselamatan serta memastikan keamanan dan ketenteraman awam negara,” katanya pada sesi soal jawab persidangan Dewan Negara hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai menjawab soalan Senator Kamarudin Abdun mengenai jaminan kerajaan bagi menaikkan kadar gaji pegawai dan anggota PDRM yang banyak berjasa kepada rakyat dan negara.

Ismail berkata walaupun isu kenaikan gaji belum diputuskan, kerajaan telah menaikkan kadar imbuhan tetap perumahan PDRM antara RM20 dan RM145 sebulan berdasarkan kepada gred pegawai dan anggota.

Beliau berkata bayaran insentif mengikut lokasi tahap kesusahan PDRM juga dinaikkan  daripada RM500 hingga RM1,500 sebulan berdasarkan kategori pedalaman kepada pegawai dan anggota yang bertugas di kawasan pedalaman.

Menjawab soalan tambahan Kamarudin mengenai kebajikan pasukan keselamatan negara itu, Ismail berkata mana-mana anggota yang terlibat dalam kemalangan atau kematian akan menerima imbuhan sejajar melalui Tabung Amanah Perwira di bawah seliaan KDN.

Bahkan katanya, terdapat juga Tabung Amanah Warisan yang disediakan kepada pesara dengan lima kategori bantuan iaitu khairat kematian, bantuan pergerakan, perubatan pesakit terlantar, pendidikan dan  bencana alam.

“Semakan mengenai keperluan anggota PDRM secara keseluruhan sentiasa dilakukan bagi memastikan kebajikan mereka terbela,” kata Ismail.