Input your search keywords and press Enter.

Seorang Ayah Bawa Anak Autisme Lakukan Jenayah

M Update, 23/12/2020 – Polis menahan lelaki yang melakukan tiga jenayah dalam tempoh tiga jam di Johor Bahru dan daerah ini, semalam.

Lelaki berusia 28 tahun itu membawa anaknya yang berusia empat tahun yang juga mempunyai masalah autisme ketika melakukan jenayah berkenaan awal pagi semalam.

Dalam kejadian pertama kira-kira 12.10 pagi semalam, Pemangku Ketua Polis Daerah Seri Alam, Deputi Superintenden Shahrulanuar Mushaddat Abdullah Sani, berkata lelaki itu bersenjata pisau mengancam dan melarikan kereta milik lelaki Indonesia di Taman Air Biru, Pasir Gudang.

Katanya, suspek memandu ke Johor Bahru bersama-sama anak lelakinya dan menculik perempuan berusia kira-kira 55 tahun, dipercayai gelandangan, kira-kira jam 12.50 pagi.

Beliau berkata, kereta berkenaan terhenti berhampiran Kawasan Perindustrian Pasir Gudang kerana kehabisan minyak dan mangsa culik berjaya melarikan diri serta mendapatkan bantuan daripada pengawal keselamatan sekolah.

“Kira-kira jam 3 pagi, suspek menyamun wang tunai daripada dua pekerja Bangladesh di stesen minyak Jalan Pelabuhan Pasir Gudang.

“Suspek ditahan jam 8 malam semalam di rumah Taman Air Biru selepas bergelut denga polis dan mengancam mencederakan anaknya dan polis,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seri Alam, di sini hari ini.

Shahrulanuar berkata, anak suspek luka ringan di dahi kerana terkena pisau yang dipegang suspek akibat dari pergelutan, manakala pegawai polis cedera ibu jari.

Katanya, suspek turut luka di pergelangan tangan kanan kerana terkena pisaunya sendiri.