Input your search keywords and press Enter.

PTPTN Sumbang RM96,500 Bantu Golongan Asnaf Di Selangor

Ketua Eksekutif PTPTN, Ahmad Dasuki Abdul Majid.

M Update, 29/12/2020 – Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) memperuntukkan RM96,500 bagi membantu golongan asnaf di Selangor menerusi pengagihan wakalah zakat PTPTN.

Ketua Eksekutif PTPTN, Ahmad Dasuki Abdul Majid, berkata pengagihan itu dilaksanakan dengan kerjasama Lembaga Zakat Selangor (LZS) melalui program ‘Kasihku Zakat Selangor’, dalam bentuk akaun Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN-i).

Justeru, beliau berkata, dua inisiatif bakal dilaksanakan, iaitu Program Pembangunan Pendidikan Asnaf (Fakir dan Miskin) dengan peruntukan RM50,000 membabitkan 500 anak asnaf yang masing-masing akan menerima simpanan SSPN-i berjumlah RM100.

“Program kedua membabitkan pembangunan pendidikan pelajar asnaf Bait Al-Hasanah. Seramai 155 pelajar akan menerima simpanan SSPN-i sebanyak RM300 setiap orang membabitkan peruntukan RM46,500.

“PTPTN ingin memastikan seluruh rakyat Malaysia mendapat akses terbaik melanjutkan pengajian ke peringkat lebih tinggi dan tiada yang tercicir dalam pendidikan akibat masalah kewangan.

“Diharapkan sumbangan kepada anak asnaf ini dapat menjadi pendorong untuk mereka belajar bersungguh-sungguh dan berjaya dalam hidup, sekali gus dapat keluar daripada kepompong kemiskinan,” katanya dalam satu kenyataan bersama LZS.

Sementara itu Ketua Pegawai Eksekutif LZS, Saipolyazan M Yusop, berkata Kasihku Zakat Selangor diperkenalkan bagi memberi ruang kepada pengeluar zakat, terutama syarikat korporat, bersama menyantuni keperluan penerima zakat di Selangor.

“Melalui program ini, syarikat berkaitan boleh memohon agihan semula 3/8 atau 37.5 peratus daripada jumlah bayaran zakat dikeluarkan pada tahun semasa, diagihkan kepada asnaf fakir dan miskin yang berdaftar dengan LZS.

“Setakat bulan lalu, 30 syarikat telah menyertai Kasihku Zakat Selangor dan bersama LZS menyantuni asnaf melalui pakej bantuan pendidikan, bantuan modal, bantuan perubatan serta bantuan sosial,” katanya.