Input your search keywords and press Enter.

Tiada Kompromi Sebarang Salah Laku Integriti – JPJ

M Update, 29/12/2020 – Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) tidak akan berkompromi dengan sebarang salah laku berkaitan integriti membabitkan warga kerjanya dengan pihak luar.

Ketua Pengarahnya, Datuk Zailani Hashim, berkata pihaknya mengamalkan dasar buka pintu terhadap sebarang syor termasuk daripada orang awam.

Zailani berkata, ia untuk meningkatkan kecekapan dalam penyampaian perkhidmatan yang antara lain mengadaptasi aspek pendigitalan dan secara dalam talian.

Beliau turut menyatakan azam untuk meningkatkan imej positif JPJ ke tahap lebih tinggi, sekali gus meningkatkan tahap integriti dalam kalangan warga kerja jabatan itu, selain kerjasama rapat dengan jabatan dan agensi penguatkuasaan lain.

Perkara itu dinyatakan dalam kenyataan dikeluarkan bersama JPJ dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), hari ini, sempena sesi kunjungan hormat Zailani ke atas Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Azam Baki, semalam.

Dalam kenyataan sama, JPJ dan SPRM menyatakan komitmen untuk memperkasa aspek integriti dan tadbir urus telus bagi pelaksanaan tugasan rutin, melalui hubungan kerja strategik antara kedua-dua entiti.

Katanya, satu kerangka kerja dan kerjasama rapat turut diwujudkan ke arah menyuburkan budaya kerja berintegriti tinggi di seluruh pejabat JPJ.

Sementara itu, Azam berkata, pihaknya menyambut baik hasrat berkenaan dan berjanji akan memberi kerjasama padu melalui penempatan Pegawai Intergriti Bertauliah (CeIO) di Bahagian Integriti JPJ.

“Sejak dulu lagi, hubungan strategik antara JPJ dengan SPRM sudah direalisasikan melalui pelaksanaan Operasi Bersama seperti Ops Kenderaan Klon dan Penipuan Ujian Lesen Memandu,” katanya.

Pada pertemuan itu juga, kedua-dua pihak bersetuju menyemak semula Nota Kerjasama (JPJ-SPRM) yang dimeterai pada 2017 ke arah usaha menambah baik dan memantapkan hubungan kerja antara dua entiti itu.