M Update, 31/12/2020 – Peperangan melawan pandemik COVID-19 masih belum tamat, malah kian sengit yang memerlukan kesepaduan rakyat dan Kementerian Kesihatan (KKM) untuk menanganinya, kata Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.
Beliau berkata usaha KKM membendung penularan COVID-19 dalam negara tetap diteruskan dan kemudahan kesihatan awam dalam mendepani pandemik itu setakat ini masih boleh bertahan.
“Peperangan masih belum tamat dan semakin sengit. Kita perlu bersatu dan kesepaduan akan membezakan sama ada kita akan menangani COVID-19 dengan baik,” katanya kepada media selepas majlis pelancaran buku mewah berjudul ‘The Fight Against Uncertainty: Hospital Services Journey In Combating COVID-19’, yang dilaksanakan secara maya, di sini hari ini.
Sambil mengucapkan Selamat Tahun Baharu kepada semua rakyat Malaysia, Dr Noor Hisham sekali lagi mengingatkan masyarakat supaya mengamalkan prosedur operasi standard (SOP) seperti penjarakan fizikal, pemakaian pelitup muka, sentiasa mencuci tangan dan elak tempat serta ruang sesak ketika berhimpun di ambang tahun baharu bersama keluarga.
“Kalau boleh jangan berhimpun, kalau terpaksa berhimpun pastikan dalam jumlah kurang 10 orang dan patuh SOP yang diketengahkan KKM,” katanya pada majlis yang turut dihadiri Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Perubatan) Datuk Dr Rohaizat Yon.
Dr Noor Hisham juga menzahirkan ucapan terima kasih kepada seluruh warga KKM, petugas barisan hadapan serta petugas media yang bersama-sama KKM memerangi COVID-19 sepanjang 2020.
“Tempoh setahun ini, peperangan itu adalah kelesuan mental dan fizikal untuk petugas KKM dan juga rakyat. Kita masih belum menang dan diharap 2021 kalau semua orang patuh SOP, insya-Allah kita boleh putuskan rantaian jangkitan COVID-19 dalam negara,” katanya.
Mengulas mengenai buku berkenaan, Dr Noor Hisham berkata buku setebal 158 muka surat itu diterbitkan Pusat Kesiapsiagaan dan Tindak Cepat Krisis (CPRC) Perkhidmatan Hospital, Program Perubatan, yang memaparkan kompilasi penulisan ringkas dengan foto yang menarik tentang perjalanan peperangan petugas hadapan dalam memerangi COVID-19 pada 2020.
“Penerbitan buku itu amat bermakna kerana perjalanan peperangan petugas barisan hadapan dalam memerangi COVID-19 sejak setahun lepas diterjemahkan dalam tulisan yang merupakan detik berharga untuk dikongsi serta diceritakan kepada generasi akan datang,” katanya.
Sebanyak 350 buku dicetak melalui sumbangan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) dan akan diedarkan kepada KKM, pengarah kesihatan negeri, kementerian dan agensi lain, universiti serta Persatuan Hospital Swasta Malaysia (APHM).
Orang ramai yang berminat melihat buku mewah tersebut boleh melayari laman rasmi KKM.