Input your search keywords and press Enter.

Malaysia beri keutamaan lindungi kepentingan Palestin

M-Update,24/1/2019,KUALA LUMPUR: Malaysia memberi keutamaan paling atas untuk melindungi kepentingan Palestin dan rakyatnya, dan keputusan tidak membenarkan atlet Israel bertanding pada Kejohanan Renang Para Dunia 2019 di negara ini adalah tepat.

Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, berkata demikian apabila Shaun Ley yang bertindak sebagai peneraju (anchor) menerusi program bual bicara BBC bertanya kepada beliau mengapa Malaysia menafikan peluang untuk atlet Israel membuktikan diri mereka bersaing dengan beberapa perenang terbaik dunia apabila membuat keputusan itu.

Beliau menambah bahawa Malaysia akan bersuara menentang pencabulan hak asasi manusia dan keganasan terhadap rakyat Palestin walaupun ia mungkin menghadapi akibatnya pada masa depan.

Terdahulu, Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berkata kerajaan mengambil pendirian tegas untuk tidak membenarkan atlet Israel daripada menyertai Kejohanan Renang Para Dunia 2019 yang akan diadakan di Kuching dari 29 Julai hingga 4 Ogos.

“Jika menganjurkan acara antarabangsa adalah lebih penting daripada menjaga kepentingan rakyat Palestin yang menjadi saudara kita, ini bermakna kita telah kehilangan kedudukan moral kita,” katanya.

Keputusan tidak membenarkan atlet Israel bertanding mendapat bantahan dari Jawatankuasa Olimpik Israel yang terus memberi tekanan kepada pihak penganjur untuk mengeluarkan visa kepada atlet mereka.

Syed Saddiq berkata dalam memperkasakan golongan belia, kurikulum pendidikan akan dikaji semula dan mereka akan dilatih semula dan meningkatkan kemahiran sambil menambah bahawa usaha juga telah dijalankan untuk menangani penghijrahan cendekiawan. – BERNAMA

Leave a Reply