Input your search keywords and press Enter.

Banjir : Paras Air Sungai Golok Melebihi Paras Bahaya

M Update, 06/01/2021 – Penduduk di sekitar Sungai Golok diminta bersedia bagi menghadapi banjir gelombang ketiga susulan paras air melebihi paras bahaya, hari ini.

Mengikut laporan infobanjir.water.gov.my, setakat jam 10 pagi ini, paras air Sungai Golok mencatat bacaan 9.80 meter melebihi tahap bahaya, iaitu sembilan meter.

Ketua Balai Bomba Rantau Panjang, Imran Ismail, berkata paras air juga menunjukkan trend menaik sejak semalam, berikutan taburan hujan lebat selain menerima aliran air hulu sungai.

“Tambahan pula, kawasan hulu sungai, iaitu di Kampung Jenob, Tanah Merah juga menunjukkan bacaan melebihi paras bahaya dengan bacaan 24.58 meter, setakat jam 10 pagi ini.

“Jika Sungai Jenob menunjukkan paras bahaya bermakna ia turut memberi kesan kepada kawasan sekitar Rantau Panjang kerana air dari sungai itu mengalir ke sini sekali gus boleh melebihi tebing sungai.

“Jadi, penduduk disarankan tidak leka dan sentiasa bersedia terutama di kawasan sekitar tebing sungai kerana banjir dijangka tiba pada bila-bila masa,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Imran berkata, rekod Sungai Golok, di sini, menunjukkan paras air berjaga-jaga ialah tujuh meter manakala paras amaran lapan meter dan bahaya pada paras sembilan meter.

“Jika hujan berterusan hari ini, berkemungkinan pekan Rantau Panjang boleh dinaiki air pada petang ini namun ia bergantung kepada taburan hujan dan semua pihak perlu bersedia menghadapinya.

“Apa yang penting, jangan lupa bahawa pendemik COVID-19 juga masih belum berakhir, seperti biasa, semua perlu patuh dengan prosedur operasi standard (SOP) bagi mengelak penularan wabak sepanjang musim banjir.

“Pihak bomba sentiasa bersedia menghadapi sebarang kemungkinan jika banjir kembali melanda termasuk berkhidmat dalam norma baharu,” katanya.