Input your search keywords and press Enter.

COVID-19: Tiada Acara Hari Keputeraan Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan

M Update, 06/01/2021 – Tiada sebarang acara akan dilangsungkan bersempena Hari Keputeraan Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Muhriz Ibni Almarhum Tuanku Munawir ke-73 pada 14 Jan ini, berikutan situasi semasa negara yang masih berdepan pandemik COVID-19.

Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata hanya Istiadat Pengurniaan Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat akan dilangsungkan dengan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.

“Tiada acara perbarisan kehormatan…dibatalkan, yang ada cuma Istiadat Pengurniaan Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat sahaja…yang lain seperti program biasa sama ada di luar (istana) dibatalkan.

“Lain-lain aktiviti dan acara turut dibatalkan,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Exco kerajaan Negeri Sembilan di Wisma Negeri di sini, hari ini.

Pada sambutan Hari Keputeraan baginda sebelum ini, pelbagai acara disusun melibatkan acara adat, keagamaan, hiburan, sukan, pameran dan acara rakyat. 

Sementara itu, Aminuddin berkata kerajaan negeri bersetuju memberi pengecualian bayaran lesen perniagaan selama setahun kepada penjaja merangkumi peniaga pasar malam, pasar tani, kereta tolak, berpayung, berjentera dan bazar Ramadan sebagai langkah meringankan bebanan kewangan mereka.

Pengecualian bayaran ini melibatkan implikasi kos pengurangan hasil kutipan pihak berkuasa tempatan berjumlah RM785,953, katanya.