Input your search keywords and press Enter.

Banjir : JAKOA Hantar Bekalan Makanan Untuk Orang Asli

– Foto Hiasan –

M Update, 07/01/2021 – Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) sudah menghantar bekalan makanan untuk penduduk Kampung Aring 5, dekat sini, hari ini.

Kampung berkenaan terputus hubung sejak tiga hari lalu kerana jambatan ditenggelami banjir.

Penyerahan bakul makanan kepada 76 keluarga itu dilakukan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Paloh, Amran Ariffin.

Turut hadir Pengarah JAKOA Kelantan/Terengganu, Shafie Abas.

Penduduk menerima beras, gula, tepung gandum, telur, gula dan serbuk teh.

Amran berkata, semua agensi menyediakan barang makanan mencukupi untuk mangsa banjir.

Katanya, JAKOA menyediakan makanan untuk kampung Orang Asli, manakala Jabatan Kebajikan Masyarakat membantu mangsa di pusat pemindahan sementara.

Beliau berkata, mangsa banjir tidak perlu bimbang kerana keperluan makanan mencukupi, walaupun banjir berlaku dalam tempoh yang panjang.

Sementara itu, Penghulu Orang Asli Kampung Aring 5 Raina Anjang, berkata kampung terbabit semakin kerap terputus hubungan apabila hujan lebat.

Katanya, dalam musim tengkujuh sejak lebih sebulan lalu, sudah tiga kali kampung itu terputus hubungan kerana jambatan tenggelam.

Dia berkata, keperluan makanan sukar diperolehi kerana penduduk tidak boleh keluar untuk membeli.