M Update, 07/01/2021 – Kementerian Kesihatan (KKM) perlu membuka lebih banyak pusat kuarantin komuniti seperti kaedah yang dipraktikkan di pusat pemindahan sementara (PPS) untuk mangsa banjir bagi memudahkan pemantauan secara menyeluruh.
Langkah ini juga memudahkan mengasingkan pesakit positif dan yang negatif tinggal bersama, selain boleh menimbulkan
lebih banyak kluster baharu disebabkan gagal mematuhi amalan kuarantin kendiri.
Pakar Virologi Universiti Malaya (UM), Prof Dr Sazaly Abu Bakar, berkata penularan virus COVID-19 dalam kalangan komuniti kini sudah memasuki fasa tidak mampu dikawal lagi, berikutan jumlah jangkitan harian dilaporkan mencecah ribuan kes.
“Kita bimbang jika pesakit menjalani kuarantin di rumah, ia mendedahkan jangkitan kepada isi rumah lain kerana berkongsi kemudahan dan ruang terhad sama. Kita juga tak pasti mereka membuat sanitasi di kediaman sendiri.
“Justeru, lebih baik kerajaan mewujudkan lebih banyak Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 seperti di Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (PKRC) dengan menggunakan kemudahan dewan dan balai raya.
“Tempat sebegini pengaliran udara lebih baik kerana terletak di kawasan terbuka, ruangan besar. Jadi tidak akan mendedahkan jangkitan kepada masyarakat yang negatif,” katanya ketika dihubungi BH, hari ini.
KKM semalam sedang meneliti cadangan untuk menempatkan pesakit COVID-19 di pusat kuarantin, rumah dan hotel yang sudah diwartakan sebagai pusat kuarantin bagi golongan pulang dari luar negara.
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, dilaporkan berkata, cadangan itu membabitkan pesakit rakyat Malaysia dan golongan berkemampuan, yang tidak bergejala atau mengalami gejala ringan.
Sazaly berkata, definisi kuarantin di rumah itu perlu diperjelaskan sama ada di rumah dan tempat tinggal atau sebagainya.
“Ramai pesakit terutama golongan muda mereka tinggal menyewa beramai-ramai dan jika kuarantin di rumah mereka berisiko mendatangkan jangkitan kepada yang lain, jika pulang ke kampung halaman, ibu bapa, ahli keluarga pula dijangkiti.
“Dari aspek pengurusan, dewan atau balai raya adalah mudah dipantau kerana semua bergejala ringan, positif ditempatkan bersama, langkah ini lebih praktikal serta menyelesaikan isu logistik, pengangkutan kerana ambulans boleh terus mengambil pesakit dan bawa ke hospital apabila keadaan semakin teruk.
Beliau berkata, kekurangan katil atau kemudahan lain tidak menjadi masalah kerana pusat penempatan sementara banjir, kerajaan tidak menyediakan katil berikutan tempohnya tidak lama, begitu juga kuarantin kini hanya 10 hari.
“Dalam hal ini tidak boleh berlaku perbezaan standard hingga perlu mewartakan hotel biarpun ada pesakit berkemampuan, kerana matlamat utama adalah memutuskan rantaian jangkitan bukan soal keselesaan semata-mata,” katanya.
Pakar Kesihatan Komuniti Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Dr Sharifa Ezat Wan Puteh, berpandangan meskipun kuarantin di rumah banyak dilaksanakan negara lain, isu mentaliti dan penguatkuasaan undang-undang berbeza setiap negara.
“Contohnya, di China penguatkuasaannya terlalu ketat, di negara maju seperti Amerika Syarikat dan United Kingdom pemantauannya dibantu peranti teknologi dan aplikasi pintar bagi mengelakkan individu dikuarantin keluar rumah.
“Kaedah sebegitu belum digunakan di negara ini walaupun sudah ada undang-undang berkaitan. Ini jelas dapat dilihat apabila ketidakpatuhan perintah kuarantin itu kes COVID-19 semakin meningkat dan mereka bercampur gaul dengan orang lain atau keluarga sendiri,” katanya.
Beliau berkata, susulan kuarantin sendirian itu akan mengakibatkan kes baharu bertambah sekali gus mewujudkan kluster baharu.
“Justeru pihak berwajib perlu menguatkuasakan denda yang lebih ketat terhadap pesalah di samping terus mempertingkatkan pendidikan kesihatan untuk pesakit yang sedang menjalani kuarantin serta kepada orang yang tinggal bersamanya.
“Ini berikutan mereka juga perlu sedar dan akur keperluan penghidap COVID-19 dan individu yang dikuarantin di rumah. Ia meliputi penggunaan tandas, pencucian pakaian, penghantaran makanan dan keperluan lain bagi tempoh 10 hari dikuarantin.
Penekanan lebih juga perlu diberikan kepada kes membabitkan warga emas, kanak-kanak dan golongan orang kurang upaya (OKU) berikutan keperluan berbeza dan simptom itu boleh berubah menjadi lebih teruk ketika dalam tempoh kuarantin.
Pakar Kesihatan Awam Epidemiologi Universiti Putra Malaysia (UPM), Dr Ahmad Zaid Fattah Azman, berkata langkah kuarantin pesakit COVID-19 bergejala ringan memang dapat mengurangkan beban rawatan di hospital kerana tahap satu dan dua yang tidak memerlukan rawatan di hospital.
“Bagaimanapun, KKM perlu menetapkan prosedur dan garis panduan pemantauan yang jelas berkaitan keadaan klinikal pesakit.
“Ini berikutan pesakit tahap dua boleh menjadi lebih teruk dan naik ke tahap tiga dan empat. Ini bagi menjamin tiada risiko jangkitan kepada orang sekelilingnya.
“Dalam pada itu, pemantauan kuarantin pesakit boleh dibuat oleh badan kerajaan seperti Agensi Pertahanan Awam dan pasukan polis bagi memastikan semua Prosedur Operasi Standard (SOP) dipatuhi,” katanya