Input your search keywords and press Enter.

Banjir : Jumlah Mangsa Banjir Di Pahang Menurun

M Update, 07/01/2021 – Seramai 23,550 mangsa banjir membabitkan 6,409 keluarga masih berlindung di 284 pusat pemindahan sementara (PPS) di sembilan daerah, setakat jam 12.30 tengah hari tadi.

Jumlah itu bagaimanapun menurun sedikit berbanding 24,298 mangsa banjir daripada 6,535 keluarga yang ditempatkan di 276 PPS, hingga jam 8.30 pagi tadi.

Ketika ini, 54 PPS beroperasi di Temerloh, diikuti Maran (43), Lipis (40), Jerantut (37), Raub (35), Kuantan (32), Pekan (25), Bera (11) dan Rompin (tujuh).

Kuantan merekodkan 3,468 mangsa banjir daripada 936 keluarga, Temerloh (5,843 orang / 1,626 keluarga), Maran (4,586 orang / 1,336 keluarga) dan Rompin (791 orang / 211 keluarga).

Seterusnya, Bera (726 orang / 197 keluarga), Raub (2,182 orang / 573 keluarga), Jerantut (2,384 orang / 578 keluarga), Lipis (2,551 orang / 675 keluarga) dan Pekan (874 orang / 244 keluarga).

Dalam pada itu, laporan infobanjir.water.gov.my turut memaklumkan bahawa enam sungai di negeri ini telah melepasi paras bahaya, setakat jam 12 tengah hari tadi.

Sungai terbabit ialah Sungai Jelai, Jeram Bungor, Lipis; Sungai Pahang (Lubuk Pasu), Temerloh; Sungai Kuantan di Jalan Kuantan Pintasan, Kuantan; dan Sungai Pahang di Kuala Sungai Chini.

Selain itu, Sungai Pahang di Serambi (Paloh Hinai), Pekan; Sungai Pahang di Sungai Yap, Jerantut; dan Sungai Pahang di Lubuk Paku, Maran.

Sementara itu, Sungai Jelai di Bukit Betong, Lipis; Sungai Triang, Bera; Sungai Kuantan di Pasir Kemudi, Kuantan; dan Sungai Lepar di Jambatan Gelugor, Kuantan, pula melepasi paras amaran, manakala Sungai Belat di Sri Damai berada pada paras berjaga-jaga.