M Update, 08/01/2021 – Mangsa banjir yang kehilangan atau kerosakan dokumen penting Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) seperti Lesen Kenderaan Motor (LKM), Lesen Memandu Malaysia (LMM) atau Sijil Pemilikan Kenderaan (VOC) boleh mendapatkan gantian percuma hingga 15 April ini.
Menurut kenyataan JPJ hari ini, inisiatif gantian percuma itu yang berkuat kuasa serta-merta, merupakan antara langkah diambil jabatan tersebut untuk membantu masyarakat yang terkesan oleh banjir.
Pemilik dokumen perlu hadir sendiri dengan membawa dokumen yang rosak untuk mendapatkan salinan gantian, manakala bagi dokumen yang musnah atau hilang, pemilik perlu membuat laporan polis dan mengemukakan laporan itu sebagai bukti kehilangan untuk mendapatkan gantian dokumen baharu, demikian menurut kenyataan tersebut.
Berikutan situasi banjir sekarang, JPJ turut memberi kelonggaran dari segi penguatkuasaan terhadap kenderaan perdagangan atau individu yang terlibat dalam operasi menyelamat dan membawa bekalan bantuan kepada mangsa banjir di pusat pemindahan sementara (PPS) atau bilik gerakan banjir sehingga situasi reda dan terkawal.
Menurut kenyataan itu lagi, unit kaunter bergerak JPJ (JPJ Mobile) akan ditempatkan di kawasan terpilih khususnya di PPS bagi memudahkan masyarakat setempat yang mengalami impak banjir mendapatkan perkhidmatan JPJ dengan lebih dekat, mudah dan selamat.
Pejabat JPJ di seluruh negara juga telah diarahkan bersedia untuk menghulurkan bantuan dalam bentuk tenaga atau menggerakkan aset-aset kenderaan JPJ sekiranya bersesuaian ketika banjir.