Input your search keywords and press Enter.

Semua Guru Pulang Ke Sarawak, Wajib Jalani Kuarantin

M Update, 08/01/2021 – Semua guru yang kembali ke Sarawak daripada Semenanjung, Sabah dan Labuan, wajib menjalani kuarantin di pusat kuarantin yang ditetapkan di negeri ini selama 10 hari berkuat kuasa semalam.

Timbalan Ketua Menteri Sarawak Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata dua ujian saringan akan dijalankan iaitu di awal ketibaan mereka, dan dua hari terakhir tempoh kuarantin, sebelum mereka dibenarkan keluar dari pusat kuarantin.

Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak berkata mereka masih perlu meneruskan baki kuarantin di rumah selama empat hari lagi sekiranya negatif, manakala bagi yang melaporkan diri di kawasan pedalaman, mereka dikehendaki menjalani kuarantin wajib selama 14 hari di pusat kuarantin.

Bercakap kepada pemberita dalam sidang media mengenai perkembangan terkini situasi COVID-19, Uggah berkata satu lagi kluster baharu iaitu kluster Keranji Tabuan dikenal pasti di daerah Kuching semalam.

“Kes indeks kluster ini ialah kes 1,158 yang dikesan melalui saringan individu bergejala pada 5 Jan lepas,” katanya dan menambah secara keseluruhan 14 kes positif baharu COVID-19 direkodkan semalam, melibatkan tujuh kes di Kuching, tiga kes di Sibu, dua kes di Sri Aman dan masing-masing satu kes di Miri dan Pusa.

Ini menjadikan jumlah kumulatif kes positif COVID-19 di Sarawak kini meningkat kepada 1,180 kes.