M Update, 08/01/2021 – Seorang lelaki ditemukan lemas selepas terjatuh dari perahu ketika dalam perjalanan menghantar mangsa banjir ke pusat pemindahan sementara (PPS) dalam kejadian di Kampung Manjor, dekat sini, malam kelmarin.
Mayat Mohammad Hakimin Rahim, 20, dijumpai oleh ahli keluarganya di dasar sungai di tempat dia dilaporkan terjatuh dari perahu jam 8.30 pagi kelmarin.
Difahamkan, dalam kejadian kira-kira jam 10 malam itu, mangsa tiba-tiba pengsan lalu terjatuh ke dalam sungai sewaktu mendayung perahu ketika membawa dua penumpang untuk ke PPS berdekatan.
Mangsa dikatakan terlalu kepenatan dan mengalami kekejangan berikutan cuaca sejuk semasa membantu penduduk kampung sejak dari awal pagi sehingga malam.
Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuala Krai, Penolong Penguasa Bomba Muhammad Rizwan Ar-Rafee Parsimin berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 10.07 malam dan seramai lima anggota dikerahkan ke lokasi kejadian.
“Operasi mencari dan menyelamat (SAR) dijalankan dan ditamatkan pada jam 12.31 pagi semalam berikutan keadaan gelap selain hujan dan air mula menaiki beberapa kawasan rendah.
“Bagaimanapun ketika pihak kami bersiap untuk menyambung operasi SAR mangsa pada pagi semalam namun dimaklumkan mangsa sudah dijumpai oleh ahli keluarganya,” katanya ketika ditemui di BBP Kuala Krai, di sini, kelmarin.
Beliau berkata, mangsa diserahkan kepada polis dan dihantar ke Hospital Sultan Ismail Petra, Kuala Krai untuk tindakan selanjutnya.