Input your search keywords and press Enter.

DARURAT : PM Rayu Rakyat Kekal Tenang, Beri Kepercayaan Kepada Kerajaan

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

M Update, 12/01/2021 – Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin merayu rakyat Malaysia agar kekal tenang dan memberikan kepercayaan serta sokongan sepenuhnya kepada kerajaan untuk membendung penularan COVID-19 dengan lebih berkesan sepanjang tempoh darurat dilaksanakan.

Beliau turut menyeru semua ahli politik, pemimpin masyarakat sivil, pertubuhan bukan kerajaan, badan-badan agama, belia, mahasiswa dan setiap lapisan masyarakat supaya bersatu dan berganding bahu dalam menghadapi situasi yang amat sukar ini.

“Yang penting, matlamat kita hanyalah satu, iaitu kita mesti menang dalam memerangi COVID-19. Marilah kita mengamalkan disiplin kendiri dengan lebih ketat sepanjang tempoh PKP (Perintah Kawalan Pergerakan) dan darurat yang berkuat kuasa ini.

“Mudah-mudahan kita akan dapat melandaikan lekuk jangkitan COVID-19 dengan segera dan seterusnya mengurangkan tekanan ke atas sistem kesihatan negara kita yang sedang terbeban dengan peningkatan kes positif COVID-19 saban hari,” katanya dalam perutusan khas darurat yang disiarkan secara langsung menerusi stesen televisyen tempatan hari ini.

Muhyiddin juga memberi amaran, tindakan tegas akan diambil terhadap individu yang cuba mengganggu-gugat usaha kerajaan untuk mengurus pandemik COVID-19 dan ekonomi negara demi kesejahteraan rakyat dan keselamatan negara.

Mewakili pihak kerajaan, beliau menjunjung setinggi-tinggi kasih atas keprihatinan dan kebijaksanaan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dalam memperkenankan perisytiharan darurat di bawah Perkara 150 Perlembagaan Persekutuan bagi menangani pandemik itu dengan lebih berkesan.