M Update, 14/01/2021 – Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah sekeluarga hari ini berkenan meninjau sendiri situasi banjir di beberapa kawasan di Pekan, Pahang, menggunakan sampan dan bot penyelamat Jabatan Bomba.
Istana Negara memaklumkan, keberangkatan Al-Sultan Abdullah ke daerah itu diiringi Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah dan tiga anakanda, Tengku Arif Bendahara Tengku Muhammad Iskandar Ri’ayatuddin Shah; Tengku Panglima Muda Tengku Ahmad Ismail Mu’adzam Shah dan Tengku Puteri Jihan Azizah ‘Athiyatullah.
Antara kawasan yang dikunjungi adalah Kampung Acheh, dengan Al-Sultan Abdullah dan Tunku Azizah berkenan menggunakan sampan ke kawasan itu.
Baginda berdua turut berkenan melawat Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di Sekolah Kebangsaan Kampung Acheh dan Balai Raya Kampung Acheh, selain meluangkan masa menyantuni mangsa banjir yang ditempatkan di PPS itu.
Keluarga diraja itu kemudian berangkat ke Kampung Temai menggunakan bot penyelamat Jabatan Bomba untuk meninjau situasi banjir di situ.
Baginda berdua turut berkenan melawat PPS di Sekolah Kebangsaan Temai, dan meluangkan masa bertanya khabar mangsa banjir yang ditempatkan di PPS berkenaan.
Dalam kedua-dua lawatan ke Kampung Acheh dan Kampung Temai, baginda berdua turut berkenan menyampaikan sumbangan kepada mangsa banjir.
“Keberangkatan Seri Paduka Baginda berdua ini mencerminkan keperibadian dan keprihatinan tinggi baginda berdua terhadap mangsa banjir yang memerlukan bantuan.
“Seri Paduka Baginda berdua mengajak seluruh rakyat untuk bersama mendoakan agar bencana banjir yang melanda beberapa negeri pada ketika ini tidak berpanjangan,” jelas kenyataan menerusi laman sosial Istana Negara, hari ini.
Yang di-Pertuan Agong dan Raja Permaisuri Agong bersama anakanda dijadualkan meneruskan lawatan ke beberapa buah kampung di sekitar Pekan yang dilanda bencana banjir.