M Update, 18/01/2021 – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) mengakui berlaku kenaikan harga sayur-sayuran di sekitar bandar ini.
Ia berikutan bekalan sayur berkurangan akibat musim banjir belum pulih sepenuhnya khususnya dari Cameron Highlands.
Ketua Pegawai Penguat Kuasa KPDNHEP Cawangan Gua Musang, Mohd Koma Shapii berkata, kenaikan harga sayur itu kerana penutupan pasar besar di bandar ini.
Bagaimanapun, katanya kenaikan harga sayuran tidak terlalu mendadak dan masih mampu dibeli pengguna yang dijual di premis biasa termasuk pasar raya.
Katanya, kenaikan pelbagai harga sayur daripada pemborong Cameron Highlands itu juga disebabkan perhubungan jalan raya di Lojing terputus baru-baru ini.
Beliau berkata, pihaknya mengeluarkan lima notis mengikut Seksyen 21, Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 kepada peniaga sayur bagi mendapatkan justifikasi kenaikan harga.
“Apapun hasil siasatan dan pemantauan yang kita lakukan sejak bermula Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dan PKP tiga hari lalu tidak ada kenaikan harga barang melampau.
“Barang keperluan seperti beras, tepung gandum, telur dan roti putih mudah diperoleh di sekitar bandar ini,” katanya kepada pemberita selepas meninjau harga barang keperluan, di sini, hari ini.
Media sebelum ini menyiarkan pengguna mengeluh apabila harga pelbagai sayuran yang dijual di sekitar bandar ini melambung hingga hampir sekali ganda.
Malah, mereka bimbang harga itu mungkin naik lagi apabila pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dan PKP dikuat kuasa di Kelantan.
Antara harga sayuran yang naik mendadak itu termasuk tomato, kubis, cili merah, timun, lobak, terung dan lada solok.
“Kita juga mendapati harga minyak masak seperti dibangkit pengguna di tempat lain tidak berlaku di sini dan masih stabil,” katanya.