Input your search keywords and press Enter.

Penjawat Awam Ingkar PKP Bakal Dikenakan Tindakan – KSN

M Update, 18/01/2021 – Bersedialah untuk menerima tindakan dan dikenakan hukuman.

Itulah peringatan Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Zuki Ali kepada 1.6 juta penjawat awam sekiranya mereka melanggar prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang sedang dilaksanakan kerajaan ketika ini.

Beliau berkata tindakan undang-undang diputuskan kerajaan tidak akan terkecuali kepada mereka yang melanggar arahan pematuhan ditetapkan itu termasuklah terhadap penjawat awam sendiri.

“Sama sahaja. Sekiranya mereka melanggar prosedur (PKP) mereka akan tetap dikenakan hukuman. Jadi peringatan kepada penjawat awam, sekiranya mereka ini tidak bersedia untuk dikenakan tindakan, hendaklah mematuhi SOP yang telah diputuskan dalam PKP,” katanya.

Bercakap kepada Bernama dalam satu temu bual eksklusif di pejabatnya di Putrajaya baru-baru ini, Mohd Zuki menegaskan setiap keputusan diambil dan dilaksanakan kerajaan itu adalah untuk memutuskan rantaian penularan pandemik COVID-19 yang kini semakin meningkat setiap hari.

Sebelum ini dilapor Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja di Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) Adnan Mat berkata penjawat awam dan pesara kerajaan yang dikenakan tindakan undang-undang kerana mengingkari PKP bakal berdepan kemungkinan kehilangan segala keistimewaan dinikmati selama ini.

Menurut beliau, tidak ada mana-mana individu boleh terlepas daripada tindakan undang-undang, walaupun sedang berkhidmat atau bersara daripada perkhidmatan.

PKP dikuatkuasakan di Pulau Pinang, Selangor, Melaka, Johor, Sabah, Kelantan serta Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan sehingga 26 Jan ini.

Bagaimanapun di Sarawak, pelaksanaan PKP bermula 16 Jan hingga 29 Jan melibatkan tiga daerah di Bahagian Sibu iaitu daerah Sibu, Selangau dan Kanowit.