M Update, 20/01/2021 – Kerajaan Selangor memperuntukan RM2 juta sebagai sumbangan bantuan banjir kepada Pahang, Kelantan dan Terengganu.
Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari, berkata Kerajaan Selangor bersimpati terhadap nasib rakyat di negeri yang dilanda banjir, baru-baru ini.
“Bagi menyantuni jiran tetangga kita, kerajaan negeri bersedia menghulurkan Sumbangan Bantuan Banjir #KitaSelangor berjumlah RM1 juta untuk Pahang.
“Kelantan dan Terengganu masing-masing akan turut menerima sumbangan bantuan banjir RM500,000,” katanya dalam pengumuman khas sempena Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 2021 menerusi Facebook rasmi beliau, hari ini.
Sementara itu, Amirudin turut mengumumkan Pakej Kita Selangor yang akan memberi implikasi kewangan berjumlah RM73.877 juta kepada kerajaan negeri.
Katanya, kerajaan negeri antara lain memperuntukan RM6 juta bagi melaksanakan ujian saringan bersasar secara percuma yang akan memberi manfaat kepada 50,000 rakyat Selangor.
Beliau berkata, pihaknya juga menambah baik fungsi aplikasi SELangkah yang membantu pengawasan kendiri individu bergejala membabitkan pusat panggilan 24 jam.
“Kita juga meneruskan bantuan makanan kepada petugas barisan hadapan dengan peruntukan RM3 juta yang membabitkan 9,822 petugas perubatan dan 3,500 anggota polis serta tentera.
“Selain itu, kerajaan negeri menyediakan bas percuma (Smart Selangor) untuk menghantar pesakit COVID-19 berisiko rendah ke Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (MAEPS),” katanya.
Amirudin berkata, setiap Dewan Undangan Negeri (DUN) juga diberikan peruntukan khas mesra rakyat berjumlah RM100,000, manakala RM50,000 untuk Ahli Parlimen membabitkan perolehan asas seperti beras dan minyak masak.
Beliau berkata, pakej itu juga meliputi pengecualian sewa sebulan (Januari) serta penangguhan sewa dua bulan (Februari dan Mac) untuk 2,361 penyewa Projek Perumahan Rakyat (PPR), selain penangguhan sewa tiga bulan (Januari-Mac) bagi 450 penyewa Skim Smart Sewa membabitkan kos RM2.7 juta.
Katanya, kerajaan negeri juga melupuskan pinjaman 762 peminjam Yayasan Selangor berjumlah RM7.177 juta.
“Sebanyak RM1.3 juta pula diperuntukan bagi membiayai bantuan makanan untuk pemandu teksi, pemandu bas sekolah, penyewa PPR, pemandu lori sisa pepejal kendalian KDEBWM (KDEB Waste Management Sdn Bhd) dan Orang Asal.
“Selain itu, RM2 juta diperuntukan bagi membantu 10,160 warga tani, termasuk baucar petrol RM300 kepada nelayan, makanan ternakan untuk pengusaha ternakan dan makanan mentah untuk warga tani,” katanya.
Seterusnya, RM1 juta diperuntukan bagi membiayai Inisiatif Peduli Anak Barisan Hadapan dengan pembukaan TASKA dan pusat jagaan sementara percuma di hospital awam serta premis sementara, selain pelancaran Portal Pusat Tuisyen Rakyat Selangor (PTRS) menerusi portal ePTRS.my untuk pelbagai program pembelajaran.
“Program digitalisasi e-kitchen diberikan peruntukan berjumlah RM10 juta, e- pembekalan (runcit dn mikro) (RM5 juta); Selangor Freelance (RM10 juta); Rakan Digital Selangor (RM3 juta); Skim Niaga Darul Ehsan (RM10 juta); dan Pusat Operasi Smart Selangor (RM6 juta),” katanya.